Rabu, 25 Januari 2017 | 4:39pm

MTDC sedia peruntukan RM40 juta dana CRDF bagi 2017


KETUA Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Novapave Sdn Bhd, Fareez Fahmi dan Pengerusi Lembaga Pengarah Gemencheh Granite Sdn Bhd, Datuk Aziz Shamsuddin di Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) memperuntukkan RM40 juta bagi Dana Pengkomersialan Hasil Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus, berkata peruntukan berkenaan adalah sama dengan jumlah yang diagihkan pada tahun 2016.

"Penubuhan CRDF ini bakal menjadi pemangkin kepada kerjasama syarikat korporat dengan universiti tempatan dalam menghasilkan produk untuk dikomersialkan," katanya ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) aplikasi teknologi jalan Gentian AsFalt Mastik (FMA), di sini sebentar tadi.

MOU itu ditandatangani syarikat Novapave Sdn Bhd dan firma kuari, Gemencheh Granite Sdn Bhd yang menjadi kuari dan pengeluar campuran asfalt manakala Novapave pula membekalkan bahan selulosa Novacel serta kepakaran bagi aplikasi turapan FMA.

Novapave adalah penerima dana CRDF seliaan MTDC di bawah program Symbiosis bagi mengkomersialkan teknologi FMA bagi meningkatkan taraf kualiti jalan persekutuan serta lebuh raya di dalam dan luar negara.

Novapave juga melaksanakan pembinaan turapan percubaan di beberapa jalan pilihan tertakluk kepada perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

MTDC juga membantu Novapave untuk meneroka pasaran eksport di Indonesia, Mesir, India, Korea Selatan dan Sepanyol.

Teknologi turapan FMA adalah inovasi turapan jalan yang dapat memanjangkan jangka hayat jalan daripada lima tahun kebiasaannya kepada sepuluh tahun.

Ia mampu meningkatkan kekuatan jalan sehingga dua kali ganda dan seterusnya dapat mengatasi masalah jalan berlubang. - BERNAMA

Berita Harian X