Khamis, 18 Disember 2014 | 1:25pm

BlackBerry Classic dengan papan kekunci


John Chen pada pelancaran telefon pintar Blackberry Classic. - Foto Reuters

NEW YORK: BlackBerry melancarkan satu lagi telefon pintar baharu dengan papan kekunci walaupun pesaingnya Apple dan peranti Android lain semuanya sudah beralih kepada sistem skrin sesentuh sepenuhnya.

BlackBerry menyasarkan model baharu Classic kepada pelanggan terasnya iaitu daripada sektor korporat. Papan kekunci fizikal pada peranti itu adalah ciri tradisional pada BlackBerry kerana ramai pengguna dapati ia lebih mudah digunakan berbanding papan kekunci di skrin sesentuh. Syarikat itu juga menekankan mengenai aspek jangka hayat bateri dan keselamatan menerusi model baharu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif, John Chen, berkata ramai pemerhati menjangkakan Classic disasarkan kepada pelanggan setia.

"..ya, itu memang betul, tetapi kami juga mahu pengguna baharu terutama golongan muda yang belum pernah menggunakan BlackBerry untuk mencuba Classic," katanya pada pelancaran model terbaharu itu di sini malam tadi.

Diasaskan pada 1999 menerusi pelancaran RIM 950, BlackBerry mengubah cara mengakses emel terutama kepada sektor perniagaan. Bagaimanapun, kehadiran pelbagai telefon pintar generasi baharu menyebabkan secara tiba-tiba peranti BlackBerry menjadi sangat ketinggalan zaman.

Apple menunjukkan kepada dunia bahawa telefon pintar bukan sekadar boleh mengendalikan emel dan panggilan. BlackBerry juga lewat untuk mengubah sistem operasinya untuk bersaing dengan perubahan yang berlaku di pasaran.

BlackBerry kini menguasai sebahagian kecil saja bahagian pasaran telefon pintar Amerika Syarikat (AS) daripada kira-kira 50 peratus pada 2009. Syarikat itu berusaha gigih untuk kekal relevan sebagai pengeluar perkakasan walaupun pada masa sama kelihatan cuba menjadi syarikat keselamatan perisian enterpris dan pengguna.

BlackBerry Classic akan mula dijual di AS mulai Rabu depan pada harga dari AS$499 (RM1,733) menerusi Amazon.com dan BlackBerry.com. Selepas ini peranti itu akan dijual secara kontrak menerusi pengendali telekomunikasi AT&T dan Verizon.

BlackBerry bekerjasama dengan Foxconn, Taiwan untuk mengeluarkan peranti baharu itu. Foxconn yang turut mengeluarkan peranti untuk Apple iPhone dan iPad, turut membantu mengeluarkan beberapa produk BlackBerry sekali gus mengurangkan kos pengeluaran syarikat itu.

Chen yang mengambil alih teraju kepimpinan BlackBerry sejak 13 bulan lalu, menetapkan sasaran menjual 10 juta unit telefon pintar setahun. Apple pula menjual 39.3 juta unit iPhone dalam tempoh tiga bulan pada suku ketiga tahun ini. - AP

Berita Harian X