Rabu, 25 Januari 2017 | 12:09am

Meriam dekat di hati Zainudin

MELAKA: Bagi pesara tentera, Zainudin Sulaiman, 76, meriam amat bermakna kerana senjata itu tersimpan nilai sentimental selepas 22 tahun berkhidmat di Rejimen Artileri Diraja (RAD), Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Justeru, tidak hairanlah kecintaannya dalam bidang ketenteraan khususnya di unit meriam 'terbawa-bawa' hingga menjadi satu hobi yang cukup unik, selepas bersara pada tahun 1983.

Ini jelas dilihat ketika kunjungan BH Plus ke rumahnya di Kampung Bukit Nangka, Gadek, Alor Gajah, yang menghimpunkan enam unit meriam tembaga hiasan pelbagai saiz sebagai koleksi barangan antik.

Malah, di luar rumah bapa kepada lima anak itu turut terbina arca meriam yang diperbuat daripada barangan terpakai seolah-olah menjadi benteng pertahanan di sekitar rumah.

Zainudin berkata, koleksi tembaga khususnya meriam antik dimilikinya diperoleh di seluruh negara sama ada dibeli atau dihadiahkan, selain turut mendapatkannya di Indonesia.

"Ada satu daripada koleksi yang saya sayang dibeli di Bogor, Indonesia ketika satu urusan kerja di sana dulu.


ANTARA koleksi meriam milik Zainudin. - Foto Rasul Azli Samad

ZAINUDIN Sulaiman dan isteri, Khadijah Tamby Chik menunjukkan koleksi meriam tembaga miliknya. - Foto Rasul Azli Samad

"Pada waktu itu, harganya tidaklah mahal iaitu kira-kira RM80 tetapi hari ini koleksi tembaga, terutama yang mempunyai rekaan serta nilai sentimental boleh dijual pada harga berlipat kali ganda," katanya yang ditemani isteri, Khadijah Tamby Chik, 71.

Bercerita lanjut mengenai himpunan koleksi meriamnya, datuk kepada 16 cucu serta seorang cicit ini berkata, beliau pernah bertanyakan harga bagi satu koleksi meriam tembaga yang mirip seperti koleksinya di sebuah pasar karat di Muar, Johor.

Apa yang menyebabkan beliau terkejut ialah harga yang ditawarkan penjual adalah RM900.

"Saya tidaklah membeli meriam tembaga itu yang didakwa ditemui seorang tua di sebuah sungai di Muar, Johor ketika era penjajahan Belanda.

"Saya bangga kerana mempunyai koleksi meriam yang mirip seperti itu," katanya yang sempat menunjukkan beberapa koleksi bekas peledak meriam yang dijadikan antara koleksi istimewa dalam simpanannya.


ANTARA koleksi lain yang berada dalam simpanan Zainudin. - Foto Rasul Azli

ZAINUDIN menunjukkan dua set dulang tembaga lama tertera tarikh tahun 1897 dan 1902 milik nenek Khadijah yang kini diperturunkan kepadanya sekeluarga. - Foto Rasul Azli Samad

INFO

- Di luar rumah, terbina arca meriam yang diperbuat daripada barangan terpakai seolah-olah menjadi benteng pertahanan di sekitar rumah.

- Koleksi tembaga khususnya meriam antik dimilikinya diperoleh di seluruh negara sama ada dibeli atau hadiah.

Antara koleksi tembaga:

- meriam

- dulang

- lembing

- tepak sireh

- gong

- seterika

Koleksi lain yang berada dalam simpanan:

- mini basikal

- basikal roda tiga

- telefon klasik

- pisau tentera Gurkha

- peti besi

ANTARA koleksi gong milik Zainudin. - Foto Rasul Azli Samad
HIMPUNAN seterika milik Zainudin. - Foto Rasul Azli
Berita Harian X