Rabu, 25 Januari 2017 | 12:04am

Rentak dunia sastera tiada jalan pintas

PENULIS muda perlu menghadiri perkumpulan penulis bagi membincangkan pelbagai isu dunia sastera. - Foto hiasan

PENGARANG atau editor sastera pilih kasih? Sastera membela anak emas? Sejauh mana kebenaran dakwaan yang hanya berasaskan persepsi berdasarkan beberapa karya nama besar penulis tanah air kerap tersiar di ruangan sastera saban minggu? Atau ia hanya tohmahan liar berlegar dari mulut kecewa dan mudah putus asa?

Siapa tidak kenal Sasterawan Negara (SN) dari Datuk Usman Awang hinggalah Datuk Dr Zurinah Hassan dan pengarang mapan sastera yang masih hidup? Mereka pernah muda dan terluka serta berduka, manakala ramai lagi penulis prolifik yang pada zaman muda, terkial-kial memanjat tiang licin dunia sastera tanah air.

Bagaimanapun yang kekal adalah mereka yang tidak mudah putus asa dan terus mencuba walaupun sering gagal menembusi benteng editor sastera yang mempunyai piawaian tinggi dan berpengalaman.

Dunia sastera mengalu-alukan penulis 'radikal', meraikan pengarang prolifik dan membantu untuk menyuburkan bakat baharu tetapi percayalah tiada jalan pintas untuk karya seseorang penulis itu tersiar pantas. Mustahil boleh mencipta nama tanpa mempelajari selok-belok penulisan atau menghadiri bengkel, kursus dan seminar penulisan yang kini boleh dianggap wajib. Bidang penulisan seperti dunia masakan dengan penulis bagai tukang masak dan masakan perlu enak serta dekoratif masakan mesti menarik.

Penulis perlu cari mentor

Penulis perlu mencari mentor daripada kalangan pengarang mapan yang dapat memberikan bimbingan, komen dan kritikan peribadi, selain meneliti peraturan menghantar karya kepada media seperti akhbar arus perdana, tabloid dan majalah yang mungkin remeh tetapi percayalah jika sabar, kita akan kenal dunia sastera.

Penulis muda yang semangatnya berkobar-kobar perlu diingatkan bahawa menulis bukan bertujuan mencari nama dan bermegah-megah jika karya tersiar. Menulis ialah tanggungjawab besar sehingga perlu memperbanyak dan mempelbagaikan bahan bacaan, selain mengikuti isu semasa sastera.

Penulis muda juga perlu bercampur gaul dengan pengarang lain melalui aktiviti berpersatuan. Daftarlah sebagai ahli dan cuba `melatih diri' untuk menghadirkan diri dalam majlis baca puisi atau diskusi buku.

Penulis muda bukan saja perlu membaca karya pengarang ternama, bahkan menghadiri perkumpulan penulis dan duduk bersama-sama bagi berbincang pelbagai isu dunia sastera dan aktiviti berkarya. Buang rasa malu dan kikis rasa segan kalau mahu maju. Ajukan pelbagai persoalan dan timba sebanyak pengetahuan untuk dijadikan bekal pengalaman.

Menulis dalam suasana selesa

Timbul pertanyaan benarkah 'tema garapan penulis muda terlalu mentah, emosional dan bergelojak darah muda di lautan cinta?' Memetik pandangan pengarang Indonesia, Rachmat Djoko Pradopo ketika diwawancara yang menyebut dunia penulisan penulis muda di negara ini tidak mempunyai kekuatan dari segi tema kerana mereka berkarya dalam suasana selesa dan tidak banyak realiti di sekitar yang boleh diangkat.

Di Indonesia, masyarakatnya masih dibelenggu oleh masalah pengangguran, kemiskinan, konflik keagamaan, pemberontakan dan bencana alam sedangkan situasi di negara ini terlalu selesa dengan hampir-hampir tiada kerumitan sosial, kadar pengangguran rendah, situasi politik stabil serta suasana ekonomi yang lebih baik.

Eloklah penulis muda membuat retrospeksi diri, sekali gus melakukan cermin diri mencari makna hakiki. Sebenarnya, mahu tulis apa, kerana apa, kepada siapa dan mengapa mahu ditulis sedemikian rupa. Penulis muda amat dituntut untuk berfikiran analisis kritis dan pragmatis.

Berita Harian X