Ahad, 22 Januari 2017 | 1:30pm
HUNNY Madu

Sahut seruan kerajaan, Hunny Madu buat 6 kerja

KUALA LUMPUR: Menyahut seruan kerajaan, artis serba boleh, Hunny Madu, 32, melakukan enam kerja dalam satu masa.

Selain tugas hakiki sebagai isteri dan ibu, wanita ini juga dikenali sebagai pengacara serta penyanyi.

Kini, ibu kepada anak perempuan diberi nama Eva Medina itu juga menceburi dunia perniagaan.

Selain itu, isteri kepada Khairul Azhar Abdul Wahid ini turut membuka studio muzik dipanggil HM Studio di Sunway Giza.

Pendek kata, bekas penyampai radio itu mahu memanfaatkan apa saja peluang yang muncul di depan mata.

"Saya memang tertarik dengan seruan kerajaan supaya kita melakukan lebih daripada satu kerja pada satu masa. Saya turut mencabar diri dan ingin membuktikan mampu melakukannya.

"Studio muzik saya juga sudah dibuka untuk sesiapa saja, termasuk mereka yang ingin menyewanya bagi tujuan rakaman," kata pemilik nama sebenar Hani Farhana Mohd Hatim ini.

Pengacara Nasi Lemak Kopi O di TV9 itu memberitahu, studio terbabit dibuka dengan kerjasama dua lagi rakan kongsi, termasuk pengurus beliau, Hazri, menggunakan model lebih RM100,000 pada peringkat permulaan.

"Ikutkan, huruf HM bagi nama studio itu boleh mewakili nama ibu bapa saya sendiri iaitu Hatim dan Molina. Begitu juga dengan nama saya. Semuanya terjadi secara kebetulan kerana nama saya dan rakan kongsi lain bermula dengan huruf H," katanya.

Bercerita mengenai perniagaan kosmetiknya pula, beliau berkata, ia adalah impian yang sudah lama disimpan.

"Saya sendiri sukakan alat solek dan amat memilih dalam hal itu. Bagi koleksi gincu bibir saya, ia menggabungkan dua dunia yang saya cintai iaitu muzik dan mekap.

"Saya meletakkan nama lagu lama dan baharu untuk koleksi gincu bibir ini. Anda boleh layari https://maducosmetics.com untuk mendapatkannya," katanya.

Hari ini, bermula jam 8.45 malam, beliau turut menjadi pengacara program Dari Bilik Sebelah sempena Anugerah Juara Lagu ke-31.

Program yang juga menampilkan Altimet dan Zooey itu boleh diikuti menerusi saluran YouTube TV3.

Hunny sebelum ini pernah muncul dengan single solo berjudul Hello dan berduet dengan Kayda Aziz menerusi duet berjudul Go Hard Or Gostan serta Gucci Dowh.

Berita Harian X