Sabtu, 21 Januari 2017 | 8:15am

Chile isytihar darurat berikutan kebakaran hutan

SANTIAGO: Chile mengisytiharkan darurat, semalam selepas kebakaran hutan yang memusnahkan kawasan seluas hampir 50,000 hektar semakin menghampiri bandar, kilang dan ladang anggur.

Pasukan bomba, kakitangan perkhidmatan perhutanan dan anggota tentera bergelut memadamkan 18 kebakaran berbeza di tengah dan selatan negara, yang disemarakkan dengan angin kuat dan gelombang kepanasan.

Kebakaran paling besar memusnahkan kawasan seluas 24,000 hektar di sekitar Pumanque, iaitu kawasan pedalaman kira-kira 140 kilometer ke selatan ibu negara, Santiago, berhampiran beberapa ladang anggur Chile.

"Saya sudah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri mengisytiharkan zon bencana dan darurat di kawasan terjejas oleh kebakaran," kata Presiden Michelle Bachelet di Twitter.

Asap yang membentuk jerebu tebal turut menyelubungi Santiago.

Sementara itu, imej televisyen menunjukkan helikopter dan pesawat cuba memadamkan api yang tidak dapat dikawal itu, tetapi tidak berhasil.

Ketua Perkhidmatan Perhutanan Chile, CONAF, Aaron Cavieres, berkata kebakaran berpunca tindakan manusia, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia dimulakan dengan sengaja. - REUTERS

Berita Harian X