Jumaat, 20 Januari 2017 | 5:50pm

PERODUA cadang buka POV separuh kedua 2017


PENGERUSI PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaluddin (dua dari kiri) bersama Nik Norzrul Thani (tiga dari kiri) dan Aminar Rashid (tiga dari kanan) melancarkan Perodua Axia Facelift sempena karnival MyPerodua Nation. - Foto Muhamma Sulaiman

SHAH ALAM: Perusahaan Otomobil Nasional Kedua Sdn Bhd (PERODUA) merangka beberapa strategi bagi mengharungi tempoh sukar industri automotif tempatan susulan persekitaran ekonomi kurang memberangsangkan yang menyaksikan peningkatan kos operasi dan penurunan jualan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata strategi yang akan dilaksanakan termasuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, pengurangan kos operasi, meningkatkan perkhidmatan selepas jualan serta memperkenalkan pusat prapemilikan (POV) kereta keluaran PERODUA.

Katanya, syarikat merancang membuka pusat jualan POV pertama pada separuh kedua tahun ini, yang akan berfungsi sebagai pusat jualan kereta terpakai kepada orang ramai yang berhasrat membeli kereta PERODUA, dengan menawarkan jaminan untuk tempoh tertentu.

"Kami sentiasa meninjau peluang lain yang ada untuk meningkatkan penguasaan pasaran syarikat, selain terus memantau pasaran automotif dari semasa ke semasa. Jika ada perubahan positif, kita akan kaji semula sasaran keuntungan syarikat dan begitu juga jika berlaku sebaliknya.

"Namun kami yakin pasaran akan pulih, begitu juga dengan jualan produk kami boleh diterima pengguna dari segi harga, teknologi dan perkhidmatan yang kami bagi," katanya selepas majlis pelancaran karnival MyPerodua Nation di sini, hari ini.

Karnival tiga hari sehingga esok itu dirasmikan oleh Pengerusi Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Tan Sri Asmat Kamaludin.

Yang turut hadir, Pengerusi PERODUA Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan dan Pengarah Urusan PERODUA Sales, Datuk Dr Zahari Husin.

Pada majlis itu, PERODUA turut memperkenalkan model Axia yang ditambah baik dilengkapi enjin VVT-I, peningkatan berbanding enjin semasa (KR Engine) serta didatangkan dengan ciri yang lebih baik kepada umum.

Aminar Rashid berkata, model Axia yang ditambah baik itu sudah menerima lebih 3,000 tempahan sejak tempahannya dibuka pada 13 Januari lalu.

"Jumlah tempahan itu memberi petanda positif untuk jualan kereta mampu milik bagi tahun ini. Hanya dalam masa tujuh hari (tempahan dibuka), Axia baharu menerima tempahan amat menggalakkan.

"Kami akan pastikan setiap tempahan akan dihantar kepada pembeli bermula hari ini," katanya.

PERODUA turut mengumumkan pemenang bertuah Pertandingan Pandu Uji dan Menang PERODUA, Law Soon Hee, 26, dari Pulau Pinang yang menerima sebuah Perodua Bezza 1.3 Liter.

Soon Hee dipilih sebagai pemenang daripada 15,000 peserta lain sempena pertandingan yang berlangsung dari Oktober hingga Disember 2016.

Info

  • Karnival MyPerodua Nation berlangsung selama tiga hari hingga Ahad ini
  • Karnival pertama dianjurkan PERODUA
  • Sedia tawaran eksklusif, aktiviti, pertandingan serta konsert artis popular
  • Tawar baucer servis percuma termasuk diskaun khas hingga 50 peratus bagi komponen dan aksesori
  • Sasar jualan dan tempahan 500 kereta dalam tempoh tiga hari karnival berlangsung
Berita Harian X