Jumaat, 20 Januari 2017 | 8:30am

Kawasaki anjur Kempen Keselamatan Jalan Raya


TIONG Lai (empat kdari iri) menyarungkan baju hujan kepada Muhammad Syukor Mohd Rijimi (tiga kanan) pada Perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2017 di Plaza Tol Sungai Besi Arah Selatan. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KAWASAKI Motors (Malaysia) Sdn Bhd, pengedar motosikal jenama Kawasaki di Malaysia meneruskan komitmen untuk memberi pendedahan mengenai keselamatan jalan raya bagi penunggang dan pembonceng motosikal menerusi Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2017.

Kempen buat kali kedua dianjurkan itu hadir bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina yang akan diraikan hujung bulan ini.

Pengurus Besar Kawasaki Motors Malaysia, Datuk Jeffrey Lim Chee Sing, berkata penganjuran acara penting itu adalah inisiatif syarikat itu untuk mendekati pengguna jalan raya supaya mementingkan keselamatan.

Katanya, antara aktiviti yang dianjurkan pada acara sehari itu ialah pemeriksaan keselamatan 16 mata motosikal dan penggantian topi keledar serta baju pantul cahaya kepada pengunjung yang hadir.

"Ternyata acara kali kedua kami sejak dianjurkan mulai tahun lalu mendapat sambutan yang amat memberangsangkan yang mana lebih 700 orang hadir ke kempen anjuran kami.

"Kempen ini juga menawarkan penggantian topi keledar yang mana 300 unit diganti pada hari berkenaan, manakala sejumlah 417 motosikal pelbagai jenama diperiksa," katanya.

Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2017 sempena Tahun Baru Cina dianjurkan di Plaza Tol Sungai Besi (Arah Selatan), yang mana ia menjadi platform untuk memberi pendedahan kepada penunggang motosikal mengenai langkah keselamatan di jalan raya.

Kempen itu dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Turut hadir, Pengarah Kawasaki Motors Malaysia, Ahmad Faez Yahya.

Ia turut mendapat kerjasama Persatuan Penjual Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, PLUS, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Info:
Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2017

  • Disertai lebih 700 pengunjung
  • 417 motosikal mendapat pemeriksaan keselamatan 16 mata
  • 300 topi keledar diganti
Berita Harian X