Khamis, 19 Januari 2017 | 9:15pm

Budak perempuan OKU dirogol pengetua, 3 guru, kini kritikal


FOTO hiasan.

NEW DELHI: Seorang budak perempuan orang kelainan upaya (OKU) berusia 12 tahun, kritikal selepas didakwa dirogol oleh seorang pengetua sekolah dan tiga guru di daerah Jehanabad Bihar di timur India.

Kanak-kanak yang mengalami cacat mental itu ditemui ibunya dalam keadaan parah di atas bumbung sekolah selepas beberapa ketika mencarinya. Empat suspek itu dipercayai melarikan diri.

Ketika kejadian, ibu kanak-kanak itu yang juga guru jasmani di sekolah sama sedang mengajar sebelum menyedari anaknya hilang.

"Oleh kerana tiada siapa menjaganya di rumah, dia menemani saya di sekolah," lapor Indian Express.

Jurucakap polis Jehanabad, Kusum Bharati berkata, suspek pengetua Sekolah Menengah Kako, Aju Ahmad dan tiga guru, Atul Rehman, Abdul Bari, dan Mohammed Shaukat akan disiasat atas jenayah rogol selepas aduan dibuat ibu mangsa.

Ibu mangsa juga akan membuat aduan kepada jabatan pendidikan negeri. Mangsa kini dirawat di Kolej Perubatan dan Hospital Patna.

Menurut statistik yang dikeluarkan Biro Rekod Jenayah Kebangsaan (NCRB), sekurang-kurangnya 34,651 kes rogol dilaporkan pada 2015.

Sejumlah 33,098 kes membabitkan mangsa yang mengenali penyerangnya, namun ramai yang tidak melaporkannya. - AGENSI

Berita Harian X