Khamis, 19 Januari 2017 | 7:24pm

SPRM temui RM1.1 juta dalam bilik tidur suspek


Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), Naguib Mohd Nor. - NSTP/Hafiz Sohaimi

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah merampas wang tunai RM1.1 juta dipercayai hasil suapan di rumah penolong jurutera kanan awam di Kampung Sungai Daun, di sini, hari ini.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, berkata rampasan dibuat jam 3.30 petang itu susulan siasatan ke atas suspek dan beberapa kontraktor sebelum penggeledahan dilakukan di rumah terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima suapan lebih RM3 juta, namun hanya RM1.1 juta ditemui hari ini.

"Kita terpaksa memecahkan dinding kayu bilik tidur utama suspek yang diubahsuai, sebelum menemui berpuluh kotak coklat dan bekas fail yang berisi wang tunai RM100 dan RM50.

"Kiraan dilakukan mendapati keseluruhan wang tunai itu sebanyak RM1.1 juta. Kita percaya hasil siasatan akan membawa kepada penemuan baki wang yang dikumpul suspek dengan cara rasuah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, suspek berusia 56 tahun yang ditahan semalam, direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana rasuah dan salah guna kuasa.

Berita Harian X