Rabu, 18 Januari 2017 | 12:25pm

Depay boleh tinggalkan United - Mourinho

Memphis Depay.
Memphis Depay.

LONDON: Memphis Depay boleh melengkapkan perpindahannya dari Manchester United ke Lyon dalam tempoh 48 jam akan datang.

United menolak tawaran STG13 juta (RM71 juta) dari Lyon untuk Depay yang berpindah ke Old Trafford dari PSV Eindhoven dengan harga STG25 juta (RM137 juta) pada 2015.

Namun, difahamkan Lyon kembali dengan tawaran yang lebih baik untuk pemain sayap Belanda itu dan United bersedia untuk proses penjualan serta melepaskan pemain berusia 22 tahun berkenaan selepas hanya 18 bulan.

Depay hanya sekali berada dalam skuad utama musim ini ketika meraih kemenangan di Northampton dalam saingan Piala Liga, September lalu.

Depay diberitahu oleh pengurus Jose Mourinho bahawa dia boleh berhijrah jika United menerima bayaran yang boleh diterima.

United sudah menjual Morgan Schneiderlin kepada Everton dengan bayaran RM109 juta, berpotensi meningkat kepada RM131 juta dan Depay ditetapkan untuk menyertainya keluar dari Old Trafford.

The Toffees turut dikaitkan dengan Depay pada awal jendela perpindahan Januari, tetapi Ronald Koeman dilihat terlepas mendapatkan pemain itu.

Perpindahan ke Perancis juga bakal meningkatkan kerjaya antarabangsanya, selepas pengurus Belanda, Danny Blind memberi amaran betapa pemain sayap itu perlu meninggalkan Old Trafford.

"Memphis perlu berhijrah pada Januari," kata Blind bulan lalu. "Dia bukan tonggak utama dalam skuad. Ia adalah sebab mengapa dia perlu berhijrah." - Agensi

Berita Harian X