Selasa, 16 Disember 2014 | 3:44pm

LZS agih RM492 juta wang zakat sehingga bulan lalu

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan agihan zakat sebanyak RM500 juta sehingga akhir tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Katanya, sebanyak RM492 juta wang zakat itu diagihkan kepada golongan asnaf di negeri ini tahun ini hingga November.

"Kami yakin, berdasarkan pengalaman, di akhir tahun (bulan Disember) jumlah kutipan zakat akan meningkat.

"Ini membolehkan LZS menyalurkan lebih banyak agihan wang zakat kepada golongan asnaf," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bayaran Zakat Perniagaan dan Pengagihan Zakat di sini, hari ini.

Turut menerima agihan zakat itu ialah 291 orang anak fakir dan miskin yang melanjutkan pelajaran di Universiti Industri Selangor.

Pada majlis itu, LZS menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah kira-kira RM1.2 juta dari 29 syarikat antaranya SIRIM QAS International Bhd dan AmIslamic Bank Bhd.

LZS juga menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat berjumlah kira-kira RM2.4 juta termasuk van jenazah kepada 10 masjid.

- BERNAMA

Berita Harian X