Rabu, 6 Ogos 2014 | 4:30pm

Habib Jewels sasar RM12 juta dari Kuantan

Oleh Fazrol Nasir

KUANTAN: Habib Jewels menyasarkan jualan RM12 juta setahun di cawangan pertamanya di pusat beli belah East Coast Mall, Kuantan yang mula beroperasi hujung bulan lalu.

Pengurusnya, Yusof Chan, berkata pembukaan cawangan berkeluasan 93 meter persegi di tingkat bawah pusat beli belah itu memudahkan pelanggannya termasuk dari daerah lain di Pahang kerana tidak perlu lagi berulang alik ke Kuala Lumpur.

"Habib Jewel membuka cawangan ke-32 di pusat beli belah ini selepas membuat kajian pasaran berdasarkan jumlah pengunjung, kedudukan dan persekitarannya begitu strategik dan mempunyai potensi besar untuk menarik pelanggan baharu termasuk golongan profesional muda pelbagai bangsa untuk memiliki koleksi barangan kemas termasuk berlian.

"Pembukaan cawangan pertama di Pahang ini juga adalah maklum balas permintaan daripada pelanggan setia dari negeri ini yang sebelum ini terpaksa ke cawangan di Lembah Klang," katanya di sini.

Beliau berkata, Kumpulan Habib memperuntukkan kira-kira RM5 juta bagi pembukaan cawangan terbaharunya di Kuantan, Pahang.

Yusof berkata, cawangan Habib Jewels itu menawarkan koleksi sama di negeri lain termasuk barangan kemas Oro Italia 916 dan Aura serta Hearts on Fire bagi koleksi berliannya.

"Sekarang adalah antara masa terbaik untuk membeli emas atau barangan kemas lain seperti berlian kerana dalam jangka panjang, harganya akan meningkat," katanya.

Syarikat tidak merancang membuka cawangan lain di Pahang bagi memberi tumpuan promosi di cawangan pertama itu.

Berita Harian X