Ahad, 15 Januari 2017 | 4:20pm

Pembangunan insan, institusi keluarga sentiasa diberi perhatian - Najib


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bergambar bersama peserta Kursus Pra Perkahwinan anjuran Pengerakan Puteri UMNO Bahagian Pekan di pejabat UMNO Bahagian Pekan. -Foto Muhd Asyraf Sawal

PEKAN: Pembangunan insan termasuk pengukuhan institusi keluarga penting bagi mengelak individu terjebak dengan perceraian atau tekanan hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kekurangan ilmu pengetahuan mengenai perkara itu juga menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan ideologi seperti kegiatan militan sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

"Pembangunan insaniah atau disebut sebagai transformasi sosial sentiasa diberi keutamaan dalam negara memacu kesejahteraan untuk mencapai status negara maju.

"Kita akan terus melakukan yang terbaik untuk menentukan kesejahteraan rakyat, termasuk pembangunan insaniah secara holistik dan tidak hanya menumpukan pembangunan fizikal.'

"UMNO juga akan terus lakukan yang terbaik untuk menentukan kesejahteraan masyarakat, bukan soal projek sahaja," katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian pada majlis Kursus Pra-Perkahwinan anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pekan di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Puteri UMNO bahagian berkenaan, Malia Irdawatie Khairuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun.

Seramai 500 orang menyertai kursus pra-perkahwinan berkenaan.

Berita Harian X