Ahad, 15 Januari 2017 | 12:00am

Jatuh hati cubaan pertama

PUCHONG: Bermula dengan hanya sekadar suka-suka untuk menguji jentera jet ski, Izzah Athirah Ahmad Zuhairi, 17, kini mula jatuh cinta dengan sukan lasak itu bahkan mula menanam cita-cita besar untuk menyertai perlumbaan bertaraf dunia.

Lebih menarik, pelajar di sebuah kolej swasta Cyberjaya itu cukup beruntung kerana ibu tirinya, Gina Rhafieda Doming, 35, juga aktif dalam sukan yang sama sekaligus memudahkan mereka merancang latihan dan pertandingan.

Izzah mula berjinak-jinak sukan lasak itu selepas sering mengikut Gina bermain jet ski di Tasik Biru, Kundang, Selangor, sejak September, tahun lalu.

Sebagai pendatang baharu, Izzah kini menghabiskan masa pada setiap Jumaat untuk meningkatkan kemahiran mengendalikan dan mengawal jet ski dengan baik.

Walaupun masih cetek pengalaman, gadis ini memberanikan diri untuk menyertai P1 AquaX Malaysia Series 2016 di Tasik Puchong, Selangor, pada November dan Disember lalu.

Melalui perlumbaan itu juga, kini Izzah mula diiktiraf sebagai pelumba jet ski berlesen kerana setiap peserta diwajibkan mengikut kursus khas anjuran P1 Marine Motosport (M) Sdn Bhd (P1 Malaysia) dan Persatuan Sukan Air Malaysia (PESUM) untuk mendapatkan lesen lumba jet ski.


IZZAH Athirah Ahmad Zuhairi pada P1 Aquax Series Pertandingan Jetski di D'Island Residences Puchong. - Foto Shiraz Yasmine Ali

Kursus asas itu bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan perlumbaan ditetapkan oleh PESUM selaku badan pengawal selia sukan air Malaysia.

Melalui kursus itu juga, peserta didedahkan mengenai langkah keselamatan jika terjatuh dari jet ski atau berlaku pelanggaran.

Namun, cubaan pertamanya menyertai perlumbaan P1 AquaX, Izzah mengalami detik hitam apabila pengsan dan dikejarkan ke hospital akibat kepenatan dan kekurangan air dalam badan. Namun semua itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus terbabit dengan sukan jet ski.

"Saya tidak tahu apa-apa berlaku, tiba-tiba saja tidak sedarkan diri kerana dehidrasi akibat cuaca panas dan kekurangan air dalam badan.

"Walaupun pernah pitam, saya tidak serik untuk bermain jet ski dan berlumba kerana kurang puas hati dengan pencapaian sebelum ini dan yakin mampu buat lebih baik dalam perlumbaan akan datang," katanya.


AKSI Gina ketika pusingan pertama P1 AquaX Malaysia Series yang berlangsung di Tasik Puchong Selangor baru-baru ini.

AKSI Gina ketika pusingan pertama P1 AquaX Malaysia Series yang berlangsung di Tasik Puchong Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Gina yang turut aktif dalam perlumbaan juga mengakui jet ski sudah sebati dirinya kerana keluarganya memiliki kemudahan itu di Sarawak, namun dia tidak pernah terfikir untuk mengambil bahagian secara serius dengan aktiviti lasak itu.

"Saya pun tidak tahu macam mana boleh sampai ke tahap ini (perlumbaan).

"Selepas bermain jet ski secara suka-suka di Tasik Biru, suami mencadangkan supaya kami menyertai perlumbaan P1 AquaX sebagai pendedahan awal," katanya bertekad untuk mencuba nasib di perlumbaan sama, pada tahun depan.

AKSI Izzah ketika pusingan pertama P1 AquaX Malaysia Series yang berlangsung di Tasik Puchong Selangor baru-baru ini.
IZZAH Athirah Ahmad Zuhairi (kiri) dan Gina Rhafieda Doming pada P1 Aquax Series Pertandingan Jetski di D'Island Residences Puchong. - Foto Shiraz Yasmine Ali
AKSI Izzah ketika pusingan pertama P1 AquaX Malaysia Series yang berlangsung di Tasik Puchong Selangor baru-baru ini.
Berita Harian X