Sabtu, 14 Januari 2017 | 12:51pm

UFC atur pertarungan Mayweather-McGregor

FLOYD Mayweather (kiri) dan Conor McGregor.
FLOYD Mayweather (kiri) dan Conor McGregor.

LOS ANGELES: Pertarungan membabitkan Floyd Mayweather dan bintang seni bela diri campuran, Conor McGregor mungkin jadi kenyataan apabila bos Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White sanggup membayar AS$25 juta (RM110 juta) kepada kedua-dua jagoan tinju itu.

White, selaku presiden UFC, membayangkan perkara itu dalam satu siaran radio dan sedang mengatur pertembungan dua bintang itu di gelanggang tinju sebenar dan bukan dalam kandang UFC.

Menurutnya, jika perlawanan itu dipersetujui, kedua-dua petinju juga akan mendapat imbuhan tambahan daripada hak siaran.

"Jika mereka setuju masuk gelanggang, pastinya mudah untuk Floyd. Conor McGregor pula ada peluang mengaut wangnya.

"Floyd, inilah tawaran untuk kamu, saya buat tawaran untuk anda. Kami akan bayar kamu AS$25 juta dan Conor AS$25 juta," kata White.

White meningkatkan tawarannya selepas Mayweather mencemuh tawaran awal sebanyak AS15 juta (RM66 juta) kepada McGregor.

Mayweather,yang mengumumkan persaraannya pada 2015 dengan rekod 49-0, memberitahu rancangan First Take terbitan ESPN bahawa perlawanan menentang McGregor adalah satu keutamaan yang boleh mendorongnya kembali menyarung sarung tangan tinju semula.

Mayweather juga mengakui sudah menemui wakil McGregor untuk membincangkan perlawanan berkenaan.

"Mereka tahu nilai saya, Nilai jaminan saya ialah sebanyak AS$100 million (RM440 juta)," katanya.

McGregor muncul pemenang pertama gelaran UFC alam kategori berat berbeza apabila menewaskan Eddie Alvarez di New York pada 12 November lalu dan diberikan lesen tinju di California seminggu selepas itu selepas timbul spekulasi dia akan bertarung di gelanggang tinju sebenar menentang Mayweather. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X