Sabtu, 14 Januari 2017 | 6:00am

Mungkinkah Liverpool 'masuk gua', jadi 'bahan' di Old Trafford?

KOLUM APA KATA: Pertemuan antara dua musuh tradisi Liga Perdana Inggeris ini - Manchester United dan Liverpool - sememangnya sentiasa dinantikan. Baik bagi penyokong tegar mereka atau peminat liga berkenaan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Malah setiap musim, sama ada berlangsung di Old Trafford atau Anfield, aksi dua kelab akan sentiasa dianggap sebagai perlawanan musim ini. Percikan aksi hebat dua kelab gergasi ini sentiasa mengamit perhatian peminatnya di seluruh dunia.

Dan tentunya juga, ia tiada beza bagi perlawanan di Old Trafford pada tengah malam esok waktu Malaysia. Ia sememangnya sangat-sangat dinantikan dan harapan yang dipertaruhkan penyokong tegar kedua-dua pasukan tentulah setinggi Gunung Everest.

Bagi yang mengikuti rapat rekod pertembungan dua seteru ini sejak sekian lama, selalunya kelebihan beraksi di laman sendiri, antara menjadi sandaran untuk menang. Adakah itu juga akan berlaku di Manchester malam esok?

Pada aksi pertama musim ini di Anfield, 17 Oktober lalu keputusan berkesudahan 0-0.

Melihat kepada prestasi semasa terutama dalam tiga aksi terakhir bagi semua saingan kejohanan, nampaknya United dilihat memiliki kelebihan dari segi motivasi. Mereka tak pernah tewas setakat ini sejak tumbang 4-0 kepada Chelsea pada 23 Oktober lalu.

Dalam tiga aksi terakhir, anak buah Jose Mourinho menang semua perlawanan termasuk pada saingan separuh akhir pertama Piala Liga menentang Hull City yang berkesudahan, 2-0.

Sebelum itu, dalam saingan EPL, ia juga menang ke atas West Ham (2-0) dan Middlesbrough (2-1).

Sebaliknya, The Reds tewas 0-1 kepada Southampton pada aksi separuh akhir Piala Liga, selain seri 2-2 dengan Sunderland beberapa hari sebelum itu. Terdahulu, barisan Jurgen Klopp mengejutkan Manchester City, 1-0 di laman sendiri.

Penulis gemar untuk memberikan statistik pertemuan lalu bagi memberi gambaran betapa permusuhan dua gergasi ini sememangnya sentiasa mendebarkan dan bukan sekadar omong kosong.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh EPL, United boleh mendabik dada apabila memenangi sebanyak 27 daripada 49 perlawanan, berbanding 13 berpihak kepada The Reds.

Dalam empat pertemuan terakhir pula sama ada beraksi di Old Trafford atau Anfield, The Red Devils jelas lebih mendominasi berbanding Liverpool. Pada aksi 17 Januari 2016 di Anfield, United menjinakkan The Reds, 1-0.

United turut membuktikan keunggulannya apabila membenam kelab dari Merseyside itu dengan keputusan 3-0 ketika saingan berlangsung di Old Trafford pada 12 September 2015.

Terdahulu pada 22 Mac pula, United turut menang dengan catatan 2-1 ketika pertembungan di Anfield manakala di Old Trafford sebelum itu - 14 Disember 2014, Red Devils menang, 3-0.

Selepas melihat statistik diatas, apakah harapan penyokong kedua-dua pasukan malam esok? Adakah anda sudah bersedia menjadi 'bahan' atau'masuk gua' andai kata pasukan kegemaran tumbang di Old Trafford? Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-21:

Tottenham Hotspur 3 West Brom 1

Swansea City 1 Arsenal 2

West Ham 2 Crystal Palace 2

Watford 2 Middlesbrough 2

Sunderland 2 Stoke City 1

Burnley 1 Southampton 2

Hull City 1 Bournemouth 1

Leicester City 1 Chelsea 4

Everton 1 Manchester City 2

Manchester United 1 Liverpool 0

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan BH

Berita Harian X