Jumaat, 13 Januari 2017 | 8:45pm

Kedah sasar ulangi kejayaan treble


Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. - Foto Pinterest

ALOR SETAR: Penyandang juara Piala Malaysia 2016, Kedah meletakkan sasaran merangkul tiga kejuaraan serentak dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Selain mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia, dua lagi trofi yang menjadi buruan Kedah yang terkenal dengan jolokan Helang Merah ialah Liga Super dan Piala FA.

Bagi mencapai sasaran itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mahukan skuad Helang Merah menghapuskan terus istilah 'tewas' dalam kamus pasukan.

"Memang dah jadi lumrah untuk kita sasarkan semua tiga piala untuk jadi juara...apa yang penting sasaran utama nak kekalkan Piala Malaysia di Kedah," katanya selepas majlis memperkenalkan penaja dan pemain Kedah 2017 di sini, hari ini.

Kedah akan turun bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku juara Liga Super musim lalu untuk merebut Piala Sumbangsih pada 20 Januari ini, sebelum memulakan aksi Liga Super pada 27 Januari di laman sendiri bertemu Sarawak.

Pada majlis sama, Kedah mengumumkan senarai 25 pemain yang akan memikul amanah besar memastikan sasaran Helang Merah itu tercapai termasuk dua import baharu.

Zachary Michael Anderson dari Australia akan mengisi kekosongan di bahagian pertahanan menggantikan import dari Korea Selatan, Bang Seung Hwan, manakala Ken Ilso Larsen dari Denmark pula akan menggalas misi sebagai peledak utama.

Dua lagi import iaitu Liridon Krasniqi dari Kosovo dan Sandro Da Silva dari Brazil masing-masing dikekalkan.

Turut disenarai pemain terbaik Piala Malaysia musim lalu, Mohd Rizal Ghazali, sekali gus menutup spekulasi pertikaian status kontrak pemain itu bersama FELDA United.

Kedah turut menyenaraikan dua pemain tempatan baharu dari JDTII iaitu Akram Mahinan yang akan bermain di posisi tengah dan Fitri Omar dari skuad Pulau Pinang sebagai pertahanan.

Pada majlis itu juga, turut diperkenalkan kit rasmi skuad Kedah dan barisan pemain skuad wanita Kedah, Belia dan pasukan Piala Presiden.

Ahmad Bashah turut mengesahkan Kedah menerima tajaan daripada penaja rasmi utama merangkumi Bina Darulaman Berhad (BDB), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Cosmic dan Al-Ikhsan.

Ia bagi menampung perbelanjaan KFA yang dianggar mencecah RM27 juta semusim.

Berita Harian X