Jumaat, 13 Januari 2017 | 4:33pm

Perak catat 723 kemalangan di tempat kerja


TIMBALAN Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zulkafli Zainuddin beramah mesra dengan orang ramai di Pejabat JKKP Perak di Bangunan Seri Kinta, Ipoh, hari ini. - Foto Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Perak mencatatkan sebanyak 723 kes kemalangan di tempat kerja sepanjang tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zulkafli Zainuddin berkata, jumlah berkenaan membabitkan 13 kes maut, hilang upaya kekal (27), tidak hilang upaya kekal (670) dan kejadian merbahaya yang tidak membabitkan kecederaan (13).

"Kes berkenaan yang direkodkan antaranya termasuk renjatan elektrik, peralatan pertanian, jentera dan dihempap batu kuari.

"Sektor pembinaan dan kuari menjadi faktor penyumbang utama dan berisiko tinggi kepada kejadian kemalangan di tempat kerja di Perak," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra di antara JKKP Perak dan Media di Pejabat JKKP Perak di Bangunan Seri Kinta di sini, hari ini.

Zulkafli berkata, dalam tempoh sama, sebanyak RM1.1 juta denda berjaya dikutip, membabitkan 67 kes pendakwaan dan 129 kompaun telah dikeluarkan JKKP Perak bagi kesalahan ketidakpatuhan perundangan berdasarkan Akta Kilang dan Jentera 1967.

Katanya, antara kesalahan yang kerap dilakukan majikan adalah tidak mendaftar tapak pembinaan, kilang dan jentera beroperasi secara haram serta tidak memakai alat perlindungan keselamatan.

Beliau berkata, jumlah kompaun dan denda berkenaan meningkat berbanding kira-kira sebanyak RM700,000 pada tempoh sama tahun 2015.

"JKKP sebelum ini sudah mengendalikan pelbagai program berbentuk seminar, bengkel dan dialog berkaitan Keselamatan dan Keselamatan Pekerjaan (KKP) tetapi nampaknya ia kurang berkesan dan majikan masih kurang peka dengan perundangan dan akta yang ditetapkan.

"Oleh itu, kita melancarkan Model Penyeragaman Penguatkuasaan Berkesan pada 2015 lalu sebagai inisiatif meningkatkan kesedaran pekerja dan memastikan kadar kemalangan di tempat kerja menurun," katanya.

Berita Harian X