Rabu, 11 Januari 2017 | 8:58pm

Jualan kenderaan diunjur catat pertumbuhan


Kereta keluaran negara, Proton Pesona

KUALA LUMPUR: Industri automotif tempatan dijangka mencatat pertumbuhan tahun ini selepas menguncup pada 2016, dengan kebanyakannya dipacu oleh sumbangan model baharu dan pemulihan sentimen pengguna.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB), Daniel Wong, berkata pihaknya menjangka jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2017 akan mencecah 600,000 unit, meningkat lima peratus berbanding setahun lalu.

Katanya, pengeluar dengan pelancaran model baharu pada separuh kedua 2016 dan 2017 berkemungkinan meraih penguasaan pasaran berbanding pengeluar yang kurang memperkenalkan model baharu.

Beliau berkata, kesan "Trading Down" atau mengurangkan sebahagian ciri pada kenderaan bagi disesuaikan dengan kehendak pelanggan pada 2017 akan memberikan kelebihan daya saing kepada pengeluar kereta nasional, daripada 46.7 peratus kepada 48.2 peratus.

"Toyota dan Nissan dijangka tidak akan memperkenalkan model baharu tahun ini. PROTON akan meraih penguasaan pasaran pada 2017 hasil sumbangan jualan penuh setahun model baharu yang dilancarkan pada suku keempat 2016 dan satu lagi model pada tahun ini.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya 2017 akan menjadi satu lagi tahun yang mencabar kepada industri automotif," katanya dalam satu nota, hari ini.

TIV pada 2016 dijangka mencatat kira-kira 572,000 unit, susut 14.2 peratus berbanding tahun sebelumnya disebabkan kemerosotan sentimen pengguna dan garis panduan pinjaman yang lebih ketat.

Ia berlaku meskipun pelbagai kempen jualan dan pemasaran agresif yang dilaksanakan oleh pengeluar untuk meningkatkan angka jualan serta penguasaan pasaran.

Seperti tahun sebelumnya, jualan bagi Disember 2016 mungkin meningkat apabila pengguna mengambil kesempatan daripada tawaran jualan akhir tahun,

Selain pelancaran model baharu, Wong berkata, keyakinan pengguna juga dijangka akan pulih menuju ke separuh kedua 2017.

"Kami jangka keyakinan pengguna secara perlahan-lahan akan meraih momentum pada 2017, apabila mereka mula menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran. Ia termasuk kebimbangan terhadap kelemahan ringgit, harga bahan api lebih tinggi, pengurangan subsidi dan kenaikan kos pengangkutan," katanya.

Beliau berkata, awal tahun ini pengguna berkemungkinan menangguhkan pembelian barangan besar termasuk kereta dan mengekalkan status semasa seperti menggunakan kereta sedia ada, berkongsi kereta atau pengangkutan awam bagi mengehadkan komitmen kewangan masing-masing.

Tambahan lagi, katanya, bermulanya operasi sambungan LRT dan laluan MRT pada 2015 hingga 2017 akan meningkatkan sambungan pengangkutan awam serta mengurangkan kecenderungan pengguna untuk membeli kereta lebih selesa.

"Justeru, permintaan bagi kereta dijangka kurang memberangsangkan sekurang-kurangnya pada separuh pertama 2017, sebelum mencatatkan peningkatan menuju ke penghujung tahun apabila pengguna secara beransur membiasakan diri dengan perubahan pasaran," katanya.

Sementara itu, Wong berkata kelemahan ringgit berbanding mata wang lain khususnya dolar AS dan yen meningkatkan secara mendadak struktur kos input pengeluar dan menjejaskan margin mereka sejak dua tahun lalu.

"Sama dengan situasi pada 2016, kami percaya sebarang kenaikan harga yang cuba dilakukan pengeluar hanya akan memakan diri dan sebaliknya mereka masih perlu bergantung kepada strategi pemasaran jualan agresif bagi meningkatkan jumlah jualan," katanya.

INFO

  • 572,000 unit jumlah keseluruhan industri direkodkan pada 2016

  • Perodua menguasai 35.4 peratus pasaran, diikuti Honda 15.6 peratus.
Berita Harian X