Rabu, 11 Januari 2017 | 7:34am

Kalendar pemasaran buku penting


GAMBAR hiasan.

INDUSTRI buku tanah air memerlukan strategi pemasaran yang terancang dan jelas sehingga berupaya menyediakan senarai buku yang bakal dipasarkan untuk tempoh setahun, malah senarai itu patut dikeluarkan sebelum masuk tahun penerbitan.

Hal ini bukanlah asing dalam konteks pasaran buku antarabangsa, bahkan penerbit sudah pun mempunyai tarikh yang pasti untuk sesuatu judul masuk ke kedai buku sehingga boleh membuat hitung undur.

Pembaca dan pelanggan sudah boleh membuat persediaan untuk mendapatkan sesuatu judul, malah boleh menabung sekiranya buku yang bakal diterbitkan dalam bentuk kulit keras (hardcover) dan mahal hingga ratusan ringgit.

Senarai itu bukan sahaja perlu disediakan oleh penerbit, bahkan ia juga boleh membabitkan usaha sama antara industri dan inisiatif institusi dalam kerajaan yang dalam hal konteks tanah air adalah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Perbadanan Kota Buku (PKB), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Kita boleh melihat contoh jelas pada pentas global seperti Perancis misalnya buat julung-julung kalinya, Jabatan Buku Kedutaannya mengeluarkan senarai buku terjemahan Perancis yang bakal dipasarkan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini.

Dalam laman kedutaannya, Jabatan Buku menyenaraikan 426 judul dalam pelbagai genre termasuk fiksyen dan bukan fiksyen, puisi, novel grafik serta sastera kanak-kanak.

"Daripada senarai itu, buku bukan fiksyen mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 178 judul yang menunjukkan peningkatan sejak 2013 dengan bidang falsafah mengungguli permintaan pembaca terhadap karya yang belum pernah diterbitkan.

"Karya yang dipasarkan juga ditulis oleh tokoh unggul seperti Alain Badiou, Jacques Rancière, Bruno Latour, Jean-Luc Nancy, Jean-Luc Marion, Michel Foucault, Jacques Derrida dan Roland Barthes, manakala pakar sosiologi, Pierre Bourdieu pula diwakili oleh dua judul pada tahun ini," kata kenyataan itu.

Dalam genre sastera dan fiksyen pula, sebanyak 118 judul bakal menemui pembaca pada tahun ini termasuk karya klasik serta kontemporari dengan penerbit AS mengambil risiko untuk menampilkan karya yang pengarangnya belum pernah ditampilkan di negara berkenaan.

Selain Incest karya Christine Angot dan The End of Eddy (Edouard Louis), pasaran AS akan menyaksikan novel yang memenangi Anugerah Goncourt, Compass oleh Mathias Enard; The Kingdom (Emmanuel Carrere); Checkpoint (Jean-Christophe Rufin).

Karya pengarang bukan Perancis yang menulis dalam bahasa itu turut disenaraikan seperti Yanick Lahens dari Haiti; Charif Majdalani (Lubnan) dan Boualem Sansal (Algeria) serta Abdourahman A Waberi (Djibouti) yang bakal tampil sekurang-kurangnya tiga novel.

Terjemahan sastera Arab

Karya sastera berbahasa Arab yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan dirancang akan menemui pembaca pada tahun ini pula sudah disusun mengikut bulan dengan 15 judul dianggap karya terkenal.

Laman web Arabic Literature (in English) menyenaraikan novel Ascension to Death karya Mamdouh Azzam akan menemui pembaca pada bulan ini sangat signifikan kerana pengarangnya berasal dari Syria yang kini menyaksikan gelombang pelarian melanda Eropah dan AS.

Kumpulan puisi, In Jerusalem and Other Poems karya Tamim Al-Barghouti pula dijangka terbit pada Februari ini yang diikuti novel, The Book of Safety (Yasser Abdel Hafez); Menorahs and Minarets (Kamal Ruhayyim) dan Suslov's Daughter (Habib Abdulrab Sarori) pada bulan berikutnya.

April pula akan menyaksikan kumpulan cerpen, The Teeth of the Comb & Other Stories karya Osama Alomar dan novel, Baghdad Eucharist (Sinan Antoon); Embrace at Brooklyn Bridge (Ezzedine C Fishere) serta No Road to Paradise (Hassan Daoud), manakala Mei pula hadir dengan In the President's Gardens (Muhsin al-Ramli) dan Hend and the Soldiers (Badriah Albeshr).

Karya sensasi

Penerbitan musim panas pula akan menyaksikan Using Life karya Ahmed Naji dan kumpulan puisi, The Silence That Remains (Ghassan Zaqtan) yang diikuti Farewell Damascus (Ghada Samman) serta The Apartment in Bab El Louk (Donia Maher).

Pasaran buku Inggeris pula akan menerima karya seperti kumpulan cerpen pengarang sensasi Jepun, Haruki Murakami, Men Without Women, selain Penerima Hadiah Nobel 2003, JM Coetzee; novelis AS, Joyce Carol Oates; Pemenang Hadiah Booker 1997, Arundhati Roy; Pemenang Hadiah Man Booker 2008, Aravind Adiga dan novelis yang terkenal dengan The Reluctant Fundamentalist, Mohsin Hamid.

Pemenang Hadiah Pulitzer 2016 berbangsa Vietnam-Amerika, Viet Thanh Nguyen akan tampil dengan novel The Refugees selepas novel sebelumnya, The Sympathizer mencipta fenomena pada 2015.

Berita Harian X