Rabu, 11 Januari 2017 | 12:08am

Sarawak miliki 250 tapak arkeologi

KUCHING: Lebih 250 tapak arkeologi berjaya ditemui di seluruh negeri sehingga kini selepas penemuan pertama oleh Kurator British, Tom Harrisson, 68 tahun lalu, sebagai sumber rujukan sejarah dan ketamadunan.

Ketua Bahagian Arkeologi Muzium Sarawak, Mohd Sherman Sauffi, berkata jumlah itu termasuk lokasi terbaru yang ditemui berhampiran Balai Polis Sentral di Jalan Khoo Yeang, di sini, Jumaat lalu.

"Di Sarawak, kerja-kerja arkeologi pertama dilakukan oleh kurator berpengalaman, Harrison pada 1948 yang kemudian terbabit dalam proses seumpamanya di bawah kelolaan Muzium Sarawak.

"Terbaru, sekumpulan buruh binaan menemui cebisan pelbagai khazanah lama ketika membina sistem saliran di pusat bandar raya ini, sekali gus membuktikan kawasan terbabit pernah menjadi tumpuan aktiviti perdagangan suatu masa dulu," katanya ketika ditemui BH, di sini, semalam.

Jumaat lalu, sekumpulan pekerja binaan terkejut menemui pelbagai serpihan tembikar dan pinggan mangkuk purba ketika menggali longkang sebelum memaklumkan penemuan itu kepada Muzium Sarawak.


JALAN Khoo Hun Yeang menjadi tapak arkeologi terbaharu berikutan penemuan sejumlah seramik dipercayai berusia lebih 200 tahun, Jumaat lalu. - Foto Mohd Roji Kawi

LEBIH 250 tapak arkeologi berjaya ditemui di seluruh Sarawak sehingga kini. - Foto BERNAMA

Berikutan itu, sekumpulan petugas kurator dari Muzium Sarawak dihantar ke tapak berkenaan bagi melakukan kerja-kerja pencarian artifak bersejarah terbabit di permukaan. Ia kemudian akan menjalani proses inventori dan rekod untuk tujuan penyelidikan lanjut.

Malah, Muzium Negara juga sudah dimaklumkan berhubung penemuan itu.

Mohd Sherman berkata, selain serpihan barangan seramik seperti tembikar, pinggan mangkuk dan piring, turut ditemui ialah sudu yang dihasilkan ketika era Dinasti Qing, berusia lebih 200 tahun.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, semua artifak itu ditemui pada paras kedalaman dua meter. Kita percaya banyak lagi tinggalan sejarah bakal ditemui di lokasi terbabit, termasuk duit syiling.

"Kita berharap akan menemui duit syiling bagi membantu kita menentukan tahun sebenar barangan berkenaan ditinggalkan di tapak ini. Pedagang China dan India sudah lama menjalankan aktiviti perdagangan di Kuching, namun kita mahu mencari banyak lagi bukti untuk menentukan bila sebenarnya aktiviti itu dijalankan di sini," katanya.


MOHD Sherman menunjukkan satu daripada artifak purba yang ditemui di tapak pembinaan sistem perparitan di Jalan Khoo Hun Yeang pada Jumaat lalu. - Foto BERNAMA

Sehingga semalam, lebih 100 serpihan barangan seramik ditemui oleh kumpulan pekerja terbabit dan sudah diserahkan kepada Muzium Sarawak.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Dr Charles Leh Mui Ung, berkata lokasi penemuan barangan seramik di Balai Polis Sentral itu dipercayai tapak pelabuhan yang sibuk dengan aktiviti perdagangan, kira-kira 200 tahun lalu.

"Berdasarkan bentuk serta ukiran, barangan seramik yang ditemui itu memang berasal dari China dan membuktikan berlaku aktiviti perdagangan di lokasi itu pada masa lalu," katanya.

INFO

  • Lebih 100 serpihan barangan seramik ditemui.
  • Dihasilkan ketika era Dinasti Qing, berusia lebih 200 tahun.

Antara serpihan barangan seramik yang ditemui:

  • Tembikar
  • Pinggan-mangkuk
  • Piring
  • Sudu
SEKUMPULAN buruh binaan menemui cebisan pelbagai khazanah lama ketika membina sistem saliran di Jalan Khoo Hun Yeang pada Jumaat lalu. - Foto BERNAMA
MOHD Sherman menunjukkan satu daripada artifak purba yang ditemui di tapak pembinaan sistem perparitan di Jalan Khoo Hun Yeang pada Jumaat lalu. - Foto BERNAMA
Berita Harian X