Ahad, 8 Januari 2017 | 5:48pm

Pak Nil gagal jejaki Anita di Las Vegas

KUALA LUMPUR: Datuk Aznil Nawawi pernah berusaha menjejaki superstar, Anita Sarawak yang menghilangkan diri sejak tahun 2011, ketika pengacara popular itu membuat tugasan di Hollywood, Amerika Syarikat (AS), tahun lalu.

Aznil yang bekerja bersama Anita sebaik penyanyi bertaraf antarabangsa itu pulang dari AS pada tahun 2003 dan dilamar Astro, mengaku menghubungi adik superstar itu, Noorkumalasari dan pusat hiburan, Caesars Palace di Las Vegas, untuk bertanya mengenai Anita.

"Saya menghubungi Kak Noor (Noorkumalasari) untuk bertanya lanjut mengenai keadaan Kak Nita.

"Tapi Kak Noor tidak tahu keadaan kakaknya secara tepat. Saya juga hubungi pengurusan Caesars Palace untuk bertanya mana-mana slot persembahan yang mungkin masih membabitkan Kak Nita.

"Ketika itu, dalam hati terfikir, kalau dipermudahkan dan dapat bertemu empat mata dengannya, sudah memadai.

"Dalam hati, saya berhasrat memujuk Kak Nita berkongsi cerita mengenai apa yang terjadi dan bagaimana keadaan terkininya. Dapat tahu semua itupun sudah saya hargai sebagai orang berpangkat adik kepadanya," katanya kepada BH Online.


AZNIL (kiri) dan Anita Sarawak. - Foto NSTP

Aznil mengulas laporan eksklusif sisipan hiburan BH, HIP hari ini mengenai misteri 'kehilangan' Anita atau mesra disapa Kak Nita yang kali terakhir dilihat berada di Malaysia pada pertengahan tahun 2011.

Dalam laporan itu, penulis lirik terkenal Singapura, Yusnor EF, 80, yang pernah menghasilkan lirik lagu dendangan Anita, mengaku pernah cuba menjejaki penyanyi itu yang dikatakan sudah pulang ke Singapura.

Kepulangan anak kepada seniman Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan seniwati Allahyarham Siput Sarawak bersama suaminya, Mahathir Abdullah ke Las Vegas dikatakan berlaku secara mengejut dan tergesa-gesa.

Hanya dua hari sebelum berangkat, Anita dikatakan ada menemui ahli keluarga untuk menyatakan hasrat pulang ke Las Vegas. Kini, sudah lebih lima tahun penyanyi yang popular dengan lagu Akhirnya Kini Pasti itu menghilangkan diri dari radar hiburan tanpa berita.

Aznil yang popular dengan panggilan Pak Nil memberitahu, hasrat untuk bertemu Anita bagaimanapun gagal direalisasikan sehingga kini.

"Ketika itu, saya fikir, kalau tak dapat berkongsi pertemuan itu dalam apa saja medium sekalipun, saya tak kisah, asalkan dapat bertemu.

"Namun, rancangan itu belum tercapai. Usaha mendapatkan maklumat dan keadaan terkini Kak Nita sangat tipis dan hasrat ke Las Vegas juga tidak kesampaian," katanya.

Sementara itu, usaha BH Online menghubungi Noorkumalasari tidak berjaya selepas telefon bimbit milik pelakon veteran itu gagal dihubungi.

Berita Harian X