Ahad, 8 Januari 2017 | 1:40pm

Yakin tarik 15 juta pelancong ke Pahang


DATUK Ishak Mokhtar. - Foto NSTP

KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Tourism Pahang mensasarkan 15 juta pelancong ke negeri itu sempena Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017, berbanding kira-kira 12 juta pelancong tahun lalu.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, peningkatan itu mampu dicapai berdasarkan promosi besar-besaran dilaksanakan bermula tahun lalu, termasuk pengedaran risalah di hotel dan destinasi pelancongan di negeri ini.

Katanya, musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur termasuk Pahang ketika ini diyakini tidak memberi kesan kerana tempoh musim itu dijangka tidak berpanjangan.

"Setakat ini, kita sedang memantau perkembangan di pusat pelancongan termasuk di hotel-hotel dan resort yang menjadi pilihan pelancong tempatan dan asing ke negeri ini.

"Berdasarkan maklumat diperoleh daripada pengusaha hotel, mereka mengesahkan ada peningkatan kehadiran pelancong di premis mereka dan ini dijangka berterusan melalui promosi yang dilakukan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ishak berkata, pihaknya berbangga dengan usaha dilakukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pusat beli-belah yang mengambil inisiatif sendiri mempromosikan Pahang.

Katanya, ada yang memasang papan tanda dan membuat kalendar mempamerkan produk pelancongan dan destinasi wajib dilawati di negeri ini yang diharap dapat membantu meningkatkan kehadiran pelancong.

Berita Harian X