Sabtu, 7 Januari 2017 | 9:41pm

Ghaddar mungkin sarung jersi TRW


MOHAMMED Ghaddar.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan bekas pemain import Kelantan, Mohammed Ghaddar, kembali menyertai pasukan itu musim ini.

Bagaimanapun, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu belum mengesahkan sepenuhnya kehadiran semula pemain yang pernah mencipta nama bersama The Red Warriors (TRW) pada musim 2012 dan 2014.

"Minta Zahasmi Ismail (jurulatih TRW) kaji, setaro (sejauh) mana jadinya (kesan) kiranya (jika) pemain muda berganding dengan pemain seperti Mohammed Ghaddar di barisan depan TRW.

"Dengan Paan (Norfarhan Muhammad), Indra (Putra Mahayuddin), Piya (Mohd Badhri Radzi), Morgaro Gomis atau lain-lain mengawal alik (bahagian) belakang.

"Rak (mampukah) pitah (mengawal) anak rima (harimau), kalau mampu kita gomo (lawan)," katanya menerusi satu kenyataan di akaun Facebook rasminya, hari ini.

Sekiranya menjadi kenyataan, Ghaddar yang berusia 33 tahun sudah tentu menjadi taruhan terbaik buat TRW dan mengisi kuota pemain import Asia.

Ghaddar menjadi antara pemain digemari majoriti peminat TRW dan pernah mencipta sejarah bersama pasukan itu pada 2012 apabila menjulang tiga piala termasuk Piala Malaysia, FA dan Liga Super.

Berita Harian X