Jumaat, 6 Januari 2017 | 5:09pm
V Sugunan bersama isteri, T Jasnita Devi, dan anak mereka, S Dakshinya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

2 bayi jantung berlubang perlu sumbangan


K Gobalan bersama isteri, S Shanmugariya dan anak mereka, G Kishore Kumar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Dua bayi yang menghidapi masalah jantung berlubang serta paru-paru tersumbat memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan di Hospital Gleneagles, di sini.

G Kishore Kumar, berusia sebulan dikesan mempunyai masalah jantung berlubang dan paru-paru tersumbat sejak lahir dan kini memerlukan RM35,000 sebagai kos pembedahan.

Bapanya, K Gobalan, 26, berkata pendapatan RM700 sebulan sebagai penghantar cepat persendirian atau 'runner' alat ganti tidak membolehkannya menanggung kos pembedahan terbabit.

"Bayi kami kelihatan normal semasa lahir dengan berat dua kilogram, namun selepas sehari dilahirkan, pernafasannya bunyi pelik dan doktor mengesahkan terdapat masalah pada jantung.

"Bukan itu sahaja, paru-parunya juga turut tersumbat menyebabkan oksigen tidak sampai sepenuhnya ke kepala serta mulutnya akan kelihatan kebiruan," katanya ketika di temui pemberita.

Gobalan berkata, dia dan isteri S Shanmugariya, 22, yang juga seorang suri rumah, berharap anaknya itu dapat meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak lain selepas pembedahan dijalankan.

"Selepas pembedahan pertama ini, bayi kami akan membuat satu lagi pembedahan semasa dia berumur dua tahun nanti," katanya.

Sementara itu, T Jasnita Devi, 33, tidak dapat menahan sebak apabila mendapat tahu anaknya mempunyai masalah jantung berlubang selepas empat tahun menunggu untuk mendapatkan cahaya mata.

S Dakshinya yang berusia empat bulan disahkan mempunyai masalah jantung berlubang semasa berumur dua bulan dan memerlukan RM45,000 untuk pembedahan.

Jasnita berkata, selepas dimasukkan ke wad di Hospital Ampang pada 7 November lalu, anaknya mengalami jangkitan kuman sehingga menyebabkan batuk teruk.

"Kami tidak sanggup lagi melihat dia terseksa berikutan rawatan yang terpaksa dihadapinya. Dia akan tertidur lena setiap kali disuntik ubat malah rambutnya mula gugur, ia jelas bahawa kesan ubat itu sangat kuat.

"Pembedahan terpaksa dilakukan secepat mungkin, jika tidak jangka hayat hidupnya tidak lama," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Media Prima NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek. Cek boleh dihantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 0327148977.

Berita Harian X