Rabu, 4 Januari 2017 | 9:45pm

Huawei umum pelancaran global Honor 6x


PRESIDEN Honor, satu bahagian Huawei, bercakap pada sidang akhbar pada Pameran Elektronik Pengguna 2017 (CES2017) di Las Vegas, Nevada. - Foto AFP

LAS VEGAS: Gergasi elektronik China, Huawei mengumumkan pelancaran rangkaian model telefon pintar siri pertengahannya, Honor 6x yang dilengkapi teknologi dwi-lensa dan disasarkan untuk pengguna muda.

Telefon pintar itu yang dilancarkan di China tahun lalu boleh didapati di 13 pasaran baharu mulai bulan ini, termasuk Amerika Syarikat (AS) pada harga AS$249 (RM1,118) hingga AS$299 (RM1,342), umum syarikat itu pada Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas.

Pengarah Pemasaran Huawei, George Zhao, berkata peranti itu adalah pengganti kepada Honor 5x yang dilancarkan setahun lalu, yang terjual sebanyak 11 juta unit yang mana beliau menjangkakan model yang dinaik taraf itu akan dijual dengan lebih banyak.

"Dua puluh juta," katanya kepada penonton.

Huawei telah muncul sebagai vendor telefon pintar ketiga terbesar di dunia tetapi hanya mempunyai kejayaan terhad di AS.

Ia kebanyakannya menjual peranti tidak dikunci menerusi dalam talian dan peruncit pasaran massa, yang mewakili segmen kecil daripada pasaran AS.

Zhao berkata, spesifikasi telefon bimbit yang baharu itu menjadikannya pesaing yang berbaloi untuk pesaingnya yang lebih besar seperti Apple dan Samsung.

Huawei menganggarkan hayat bateri selama dua hari dengan penggunaan yang biasa dan telah meningkatkan perisian untuk pemprosesan foto bagi memberikan imej yang lebih baik, walaupun dalam keadaan cahaya yang kurang terang.

Syarikat itu yang telah menyatakan matlamatnya untuk menjadi pembuat telefon pintar nombor satu, berdepan pasaran yang sesak di belakang Apple dan Samsung yang mencatatkan jualan lebih baik, bersaing dengan syarikat China lain seperti Lenovo dan Xiaomi serta LG Korea Selatan, yang juga dijadualkan membuat pengumuman pada pameran elektronik itu.

Telefon bimbit terbabit yang berharga lebih murah daripada model peranti perdana Huawei, dijual mulai minggu ini di AS, Britain, Perancis, Jerman, Sepanyol, Itali, Belanda, Russia, Malaysia, Emiriyah Arab Bersatu dan Arab Saudi, dengan pasaran lain akan menyusul. - AFP

Berita Harian X