Selasa, 3 Januari 2017 | 12:07am

Tenunan ikat limar semakin dilupakan


KAIN limar bersongket mampu mencecah hingga belasan ribu ringgit.

SENI tenunan kain adalah antara warisan yang masih mendapat tempat di negara ini biarpun semakin ramai generasi muda tidak lagi berminat untuk mempelajarinya.

Songket antara contoh hasil tenunan yang terus menjadi pilihan dan dapat dilihat dalam kebanyakan acara tradisi serta istiadat rasmi Melayu hingga ke hari ini.

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu mengenai tenunan ikat limar yang suatu masa dulu juga pernah popular dalam kalangan bangsawan dan kerabat diraja di Kelantan dan Terengganu.

Pensyarah Kanan Tekstil Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Norwani Md Nawawi, berkata kain limar dihasilkan dengan cara mengikat benang sutera dengan mencelupnya dalam pewarna mengikut corak yang diinginkan sebelum benang terbabit akan dibuka semula ikatannya.


PENSYARAH Kanan Tekstil Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Norwani Md Nawawi. - Foto Shiraz Ali

Teknik ikat

"Selepas itu ia akan ditenun mengikut rekaan yang dipilih. Semasa proses tenunan, benang loseng akan disediakan dalam kek alat tenun dan benang pakan akan ditenun menerusi benang loseng terbabit.

"Kebanyakan kain limar menggunakan teknik ikat pakan yang hanya ada di Pattani, Kelantan, Terengganu dan Palembang di Sumatera," katanya kepada Aura.

Norwani berkata, tenunan ikat limar biasanya mempunyai motif yang hampir sama dengan songket, antaranya seperti tampuk manggis, pucuk rebung, tampuk kesemak, bunga bintang dan dada lipan.

Malah katanya, kain limar dikatakan mempunyai nilai tenunan yang tinggi nilainya kerana kehalusan seni pembuatan dan tenunannya.


PERALATAN menenun yang digunakan untuk tenunan ikat limar.

Teknik ikat yang digunakan dalam tenunan ini menghasilkan kain limar yang berkualiti tinggi dan dulu ia kebanyakannya diusahakan oleh penenun di kawasan Pantai Timur.

Malangnya, Perang Dunia Kedua menyebabkan tenunan ini semakin dilupakan dan tidak lagi diusahakan berikutan kesukaran untuk mendapatkan bahan membuatnya.

Dipakai Cik Siti Wan Kembang

Norwani berkata, ketika zaman pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, permaisuri Kelantan itu dikatakan menggunakan tiga helai kain limar yang dijadikan sebagai kain sarung, kain kemban dan selendang.

Katanya, kain kemban biasanya tidak bersongket manakala kain sarung limar adalah daripada bersongket yang dipakai secara melilit kain di pinggang dan dikemaskan dengan tali pinggang atau pending di bahagian tengah.

"Pada bahagian bahunya yang terdedah akan ditutup dengan selendang juga dari kain limar menyerlahkan lagi keanggunan permaisuri Kelantan yang terkenal itu," katanya.

Beliau berkata, kain limar bersongket dianggap sebagai tenunan tekstil Melayu yang mempunyai nilai tinggi dan beliau bersama pengusaha songket terkemuka di Terengganu, Wan Manang cuba untuk mengembalikan semula kegemilangan seni tenunan ini.

Hasilkan buku

Katanya, usaha untuk memperkenalkan semula tenunan ikat limar ini turut dilakukan Kraftangan Malaysia dengan mengadakan bengkel kain ikat pakan di Pekan, Pahang.

Malah, beliau sendiri turut menghasilkan buku yang juga hasil kajiannya bertajuk, Ikat Limar - The Ancient Malay Textile mengenai kain tenun limar yang semakin dilupai masyarakat masa kini.

Pelancaran buku dan pameran seni tekstil ikat limar berkenaan disempurnakan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ), UiTM Shah Alam, baru-baru ini.

Norwani turut menyimpan harapan tinggi supaya ilmu kesenian ikat limar ini dapat dikongsikan dengan generasi muda.

"Harapan saya supaya ikat limar dapat diteruskan generasi akan datang memandangkan kita kepupusan pewaris yang berminat untuk meneruskan warisan ini.

"Malah buku ini juga diharapkan dapat menjadi wadah ilmu kepada masyarakat yang masih mencintai seni warisan tradisi lama," katanya.

INFO: Tenunan ikat limar

  • Cukup terkenal pada tahun 1610 hingga 1677.
  • Perang Dunia Ke-2 menyebabkan ia tidak lagi ditenun kerana sukar dapat bahan.
  • Terkenal dalam kalangan bangsawan dan istana untuk acara seperti perkahwinan, kelahiran dan kematian.
  • Prof Madya Dr Norwani Md Nawasi dan suami, Abbas Alias menulis sendiri lagu khusus Selendang Limar Kain Pusaka.
  • Lagu bertujuan memperkenal semula kain limar kepada umum digubah penggubah lagu, Johan Nawawi.
  • Ia didendangkan penyanyi Nora.
Berita Harian X