Ahad, 1 Januari 2017 | 3:04pm

Melaka terima 16.25j pelancong tahun lalu


KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tengah) menghadiri Majlis Sambutan Ambang Tahun Baru di Dataran 1Malaysia, Klebang. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Seramai 16.25 juta pelancong domestik dan luar negara mengunjungi Melaka sepanjang 2016, sekali gus menjadikan negeri itu antara destinasi pelancongan utama.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata angka itu adalah berdasarkan statistik kedatangan pelancong sehingga 15 Disember lalu.

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan 513,911 pelancong atau 3.27 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2015.

"Kita difahamkan River Cruise Melaka menerima kunjungan lebih 200,000 pengunjung dengan jumlah kutipan tiket melebihi RM2 juta sepanjang Disember sahaja," katanya dalam ucapan sempena Tahun Baharu 2017 di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini, malam tadi.

Kira-kira 20,000 pengunjung memeriahkan acara berkenaan.

Idris berkata, sektor pelancongan adalah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Melaka menerusi 45.6 peratus dengan nilai output RM14.467 bilion pada 2015.

Bagi merancakkan aktiviti pelancongan tahun ini, katanya, Pelancongan Melaka menyediakan 159 acara dengan 18 daripadanya adalah program utama negeri.

"Antara acara yang akan dilaksanakan adalah Raptor Watch di Tanjung Tuan pada 11 Mac, Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan (3-8 April), Melaka Ingress Mission Day (29 April), Festival Kuih Tradisional Melaka (10-11 Jun), Tour De Siak Melaka Cycling Competition (11-12 September), Festival Antarabangsa Sungai Melaka pada September dan Urban Environmental Accord (UEA) Melaka Summit (7-9 September)," katanya.

Berita Harian X