Sabtu, 31 Disember 2016 | 4:49pm
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Rasul Azli Samad

Melaka sedia 159 acara tarik pelancong pada 2017

MASJID TANAH: Sebanyak 159 acara termasuk bertaraf antarabangsa akan menghiasi kalendar pelancongan Melaka sepanjang tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata ia juga bagi mempromosi 18 program pelancongan utama kerajaan negeri, sekali gus untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara.

"Semua 159 acara yang disediakan kerajaan negeri melalui Tourism Melaka ini sebagai pemangkin untuk menarik pelancongan.

"Mengikut rekod, sehingga tempoh 15 Disember lalu, seramai 16.2 juta pelancong dari dalam dan luar negara datang ke negeri ini, meningkat 3.27 peratus atau 513,911 pelancong bagi tempoh sama pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Tanjung Bidara Beach Resort, di sini, hari ini.

Idris turut menyarankan pihak yang bertanggungjawab supaya menambah baik kemudahan sedia ada di Tanjung Bidara, termasuk pengusaha hotel dan resort.

"Dianggarkan lebih 20,000 pengunjung datang ke sini (Tanjung Bidara) sebagai satu daripada destinasi percutian bukan saja pada musim cuti sekolah, malah hujung minggu.

"Sebagai lokasi tumpuan terkenal dalam negara, penambahbaikan perlu dilakukan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung," katanya.

Berita Harian X