Sabtu, 31 Disember 2016 | 12:07am

Asam pedas asli dalam hotel lima bintang


MEMILIH asam pedas kerana ia sinonim dengan Melaka dan menjadi hidangan popular dalam kalangan pengunjung. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

ASAM pedas sangat sinonim dengan Melaka. Jadi, dalam kalangan pengunjung terutama pelancong tempatan, asam pedas Melaka sentiasa disenaraikan sebagai makanan istimewa.

Jika puas menjelajah asam pedas di restoran atau gerai sekitar bandar Melaka, apa kata kali ini menikmati masakan ini dalam hotel antarabangsa seperti Hard Rock Cafe (HRC) Melaka.

Kebiasaannya di hotel antarabangsa, makanan tempatan diubah suai sehingga luntur keasliannya, dan ia dilakukan kononnya untuk memenuhi cita rasa tetamu dari pelbagai negara.

Apabila penulis memberitahu pernah menikmati gulai asam pedas di restoran terkemuka dan rasanya sedap, ramai terpinga-pinga kehairanan. Mereka tidak pernah tahu atau mendengar cerita, HRC Melaka menyediakan hidangan asam pedas!

Namun, itulah kenyataannya, asam pedas Melaka kini mendapat tempat di restoran antarabangsa berstatus lima bintang!

Lebih penting, asam pedas HRC Melaka, rasanya sangat asli, seolah-olah dimasak daripada 'air tangan' anak jati Melaka.


HARD Rock Cafe Melaka. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

HIDANGAN istimewa untuk memenuhi cita rasa pelancong. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Teliti setiap ulasan, cari yang terbaik

Pengurus Besar, HRC Melaka, Anderson K Selva berkata, sebagai restoran jenama antarabangsa, ia perlu menyediakan satu hidangan istimewa untuk memenuhi cita rasa pelancong. Justeru, mereka memilih asam pedas kerana ia sinonim dengan Melaka dan menjadi hidangan popular dalam kalangan pengunjung.

Lokasinya terletak di Lorong Hang Jebat, bersebelahan dengan Jonker Walk iaitu destinasi pelancongan terkemuka di Melaka.

"Kami perlu ada satu hidangan istimewa supaya ia menjadi sebutan ramai, akhirnya asam pedas menjadi pilihan.

"Saya sendiri perlu melalui ulasan makanan atau food testing di lebih 50 restoran dan gerai asam pedas, termasuk di tepi jalan, bawah pokok, mahupun di rumah orang sekitar Melaka.

"Hanya resipi paling sedap dibawa ke dalam menu asam pedas kami. Kini, terbukti percubaan membawa makanan tradisional Melaka ke premis makanan kami, membuahkan hasil apabila gulai asam pedas ikan tenggiri mendapat sambutan sangat menggalakkan!

"Kerja keras kami selama berbulan-bulan untuk memperoleh resipi istimewa, ternyata berbaloi!" katanya lagi.


ASAM pedas HRC Melaka, rasanya sangat asli, seolah-olah dimasak daripada 'air tangan' anak jati Melaka. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pes buatan sendiri

Tukang masak kanan, Muhammad Afiq Hassan berkata, beliau menggunakan pes asam pedas yang dihasilkan sendiri untuk memastikan bahan utama iaitu ikan tenggiri yang dimasak bersama ramuan lain menghasilkan satu aroma membuka selera, sekali gus mengekalkan keaslian dan keenakannya.

"Apabila semua ramuan diadun, ia perlu dimasak selama 10 minit saja, tapi api kena jaga, tak boleh terlalu besar atau kecil. InsyaAllah, gulai asam pedas HRC Melaka pasti dikenang pelanggan," katanya yang berasal dari Durian Daun, Melaka.

INFO

  • Pes asam pedas dihasilkan sendiri oleh tukang masaknya untuk mengekalkan keaslian rasa kuah.
  • Tenggiri paling sesuai dimasak asam pedas kerana kurang tulang, sekali gus pes mudah meresap ke dalam badan ikan.
  • Menikmati asam pedas di sini dijamin kesegaran dan kebersihan makanan, selain selesa. Walaupun perlu membayar lebih sedikit, tapi kualiti makanan diberi keutamaan.


ASAM pedas Melaka kini mendapat tempat di restoran antarabangsa berstatus lima bintang! - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X