Jumaat, 30 Disember 2016 | 4:49pm

Penggunaan produk biodegradasi wajib mulai Ahad ini


TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Dr Loga Bala Mohan. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewajibkan sepenuhnya penggunaan produk biodegradasi di Wilayah Persekutuan (WP) bermula Ahad ini bagi menggantikan penggunaan plastik dan polistirena.

Ia membabitkan semua restoran, gerai makan dan premis penjualan makanan secara langsung bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar serta memeliharanya untuk generasi masa depan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan, berkata pelaksanaan yang efektif daripada KWP itu selaras dengan inisiatif Pembangunan Teknologi Hijau di WP untuk meningkatkan pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

"Langkah itu juga bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap polistirena dan plastik yang memudaratkan kesihatan individu, masyarakat, kehidupan liar serta pengurusan sisa pepejal.

"Ia sekali gus dapat menggalakkan pembangunan industri pengeluaran produk biodegradasi dan mewujudkan peluang pekerjaan serta industri baharu," katanya pada sidang media program Hijrah Hijau Ke Arah Pembangunan Mampan Penggunaan Produk Biodegradasi, di sini, hari ini.

Katanya, KWP juga sudah mendapat sokongan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) dan SIRIM Berhad bagi pelaksanaan peraturan itu.

Beliau berkata, pihaknya juga turut mengadakan sesi perbincangan bersama persatuan penjaja dan pembekal untuk menggalakkan mereka menggunakan produk berkenaan.

"Pihak kami memberi tempoh sembilan bulan untuk setiap peniaga sama ada restoran atau penjaja menggunakan produk biodegradasi ini.

"Penguatkuasaan kompaun maksimum RM2,000 akan bermula pada 1 September tahun depan jika ada di antara mereka tidak mengikut undang-undang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Loga Bala berkata, pelaksanaan fi penyelenggaraan perangkap minyak di premis makanan ke dalam lesen perniagaan juga akan dikuatkuasakan Ahad ini.

"Ia akan dikuatkuasakan dalam syarat lesen perniagaan premis makanan dengan caj perkhidmatan dalam fi lesen perniagaan sebanyak RM1,500 setahun dengan purata RM125 sebulan bagi setiap perangkap yang akan selenggara kontraktor dilantik DBKL," katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan jika mendapati mana-mana premis gagal mengikut arahan wajib ditetapkan termasuk penarikan lesen serta penutupan premis mereka.

Berita Harian X