Selasa, 27 Disember 2016 | 7:20pm

Polis Sabah lupus barang kes dadah lebih RM670,000


GAMBAR fail, Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Kontinjen Sabah, Superitendan Mohamed Fadzil A. Rahman (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan bungkusan ganja mampat yang berjaya dirampas oleh pihak polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu pada 24 Mei lalu. - Foto Mohd Adam Arinin

KENINGAU: Barang kes dadah bernilai RM670,444.25 daripada 786 kes yang telah selesai proses perbicaraan sepanjang tempoh 1995 hingga 2013, di sini, dilupuskan hari ini.

Pelupusan barang kes bagi siri kedua 2016 itu membabitkan daerah Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Ranau, Keningau dan Tenom.

Antara barang kes yang dilupuskan ialah Methamphetamine (syabu) seberat 8.3 kilogram (kg), ganja 1.2 kg, ketamine 265.83 gram dan barang bukan dadah seperti ubat batuk, Paracetamol dan Diazepam seberat 61.33 gram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Superintendan Mohamed Fadzil A Rahman, berkata sebelum ini, barang kes itu disimpan di enam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan dan telah selesai melalui proses mahkamah.

Katanya, pelupusan itu bertujuan mengelakkan tempat penyimpanan di IPD sesak hingga menyukarkan pergerakan keluar masuk barang kes bagi tujuan perbicaraan khususnya kes baharu.

"Ia juga bagi mengelak barang kes dadah rosak, lusuh dan diganggu tikus, lipas dan anai-anai serta membahayakan kesihatan anggota penyiasat yang bertugas di stor barang kes terbabit," katanya kepada media selepas proses pelupusan itu.

Pelupusan barang kes itu selaras prosedur operasi standard (SOP) dalam penyiasatan kes mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan mahkamah memberi arahan untuk memusnahkan barang kes yang selesai perbicaraan, termasuk tamat tempoh rayuan.

Berita Harian X