Sabtu, 24 Disember 2016 | 8:32am
PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto Reuters
PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto Reuters

Israel tolak resolusi Majlis Keselamatan PBB

RESOLUSI Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto AFP
RESOLUSI Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto AFP

BAITULMAQDIS: Israel mengutuk keras Presiden Barack Obama berhubung resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan semalam menuntut ia menggantung pembinaan di wilayah Palestin.

Malaysia adalah antara empat negara yang mendesak undian mengenai resolusi itu diadakan selain Venezuela, New Zealand dan Senegal.

Rejim Zionis itu juga berikrar tidak akan mematuhi resolusi berkenaan.

"Israel menolak resolusi anti-Israel memalukan ini di PBB dan tidak akan mematuhinya.

"Pentadbiran Obama bukan hanya gagal melindungi Israel berhadapan kumpulan pembangkang di PBB, tetapi juga bersubahat di belakang tabir," kata kenyataan pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Kenyataan juga menambah ia tidak sabar mahu bekerjasama dengan presiden baru Amerika Syarikat, Donald Trump, dan semua rakan dalam Kongres, Republikan dan Demokrat, untuk membatalkan kesan buruk resolusi yang disifatkan tidak masuk akal itu.

Israel turut mengumumkan tindakan membalas dendam secara diplomatik terhadap Senegal dan New Zealand

Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia dan Venezuela.

Dalam langkah jarang dilakukan, Amerika berkecuali dalam undian yang diadakan pada Jumaat, membolehkan penerimaan berkecuali resolusi pertama PBB sejak 1979 bagi mengutuk Israel berhubung dasar penempatannya.

Tindakan bersejarah itu dibuat walaupun usaha melobi rancak dilakukan Israel dan Trump untuk menghalang resolusi berkenaan.

Namun pentadbiran Obama semakin kecewa dengan pembinaan penempatan di Tebing Barat, yang diceroboh Israel hampir 50 tahun.

Sementara itu, jurucakap Presiden Mahmud Abbas, menyifatkan resolusi itu sebagai tamparan hebat kepada dasar Israel.

Bekas perunding damai, Saeb Erekat, bercakap mengenai 'hari bersejarah'.

"23 Disember adalah hari bersejarah dan kemenangan bagi kesahihan antarabangsa, undang-undang antarabangsa dan dokumen antarabangsa," katanya. - AFP

Berita Harian X