Jumaat, 23 Disember 2016 | 3:52pm

PAS Selangor sedia kerjasama dengan PKR, PPBM


PESURUHJAYA PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad. - Foto ihsan selangor.gov.my

KUALA LUMPUR: PAS Selangor tidak ada masalah mengadakan program bersama dan bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad, berkata setakat ini, dua program ceramah umum PAS diadakan di Selangor membabitkan penceramah daripada PKR dan PPBM.

Katanya, terbaharu, pada 5 Disember lalu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Ahli Biro Politik PKR, Sivarasa Rasiah turut bersama di atas pentas dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Ceramah mega berkenaan mendapat sambutan luar biasa dan menjadi isyarat kepada penerimaan rakyat terhadap gandingan tiga parti itu.

"Ceramah itu juga membuka mata rakyat kepada beberapa kemungkinan terhadap perkembangan politik tanah air," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Iskandar menegaskan, PAS memang mempunyai hubungan politik dan hubungan dalam kerajaan dengan PKR di Selangor.

Katanya, sesi ceramah PAS membabitkan kepemimpinan PKR memang kerap diadakan dan pembabitan PPBM baru dimulakan.

"PAS di Kelantan dan Terengganu sudah terlebih dahulu menjemput pemimpin PPBM di dalam ceramah mereka.

"Namun, PAS bertegas untuk tidak bersama di atas pentas politik bersama DAP dan Parti Amanah Negara kerana kita tidak mempunyai hubungan politik dengan mereka," katanya.

Berita Harian X