Khamis, 11 Disember 2014 | 2:04pm

Phoon Eyin sumbang emas pertama negara di AUG ke-17

PALEMBANG: Atlet wushu negara, Phoon Eyin terus melakar kejayaan apabila menyumbangkan pingat emas pertama kontinjen Malaysia di Sukan Universiti Asean (AUS) ke-17 di Pusat Promosi Sriwijaya, Palembang di sini, hari ini.

Phoon Eyin, 18, menang tipis dengan perbezaan 0.01 mata menewaskan pencabarnya, atlet tuan rumah, Natalie Cherisda Tanasa, yang meraih pingat perak dengan 9.38 mata.

Pingat gangsa menjadi milik atlet Laos, Payai dengan 7.26 mata.

"Saya sangat gembira meraih pingat emas pertama buat kontinjen negara. Setiap kali di gelanggang, saya sentiasa positif dan dalam latihan memang perlu bekerja keras untuk berjaya," katanya kepada pemberita.

Eyin adalah pelajar pra-universiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Beliau juga pemenang pingat emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar 2013 dan meraih pingat emas dalam Kejohanan Dunia Wushu di Kuala Lumpur 2013.

Selain Eyin, skuad wushu turut membolot dua pingat perak dan sebutir gangsa.

Dua pingat perak diperoleh menerusi Wong Weng Son bagi acara Chanquan lelaki dan Ng Shin Yii (Taijiquan wanita) manakala pingat gangsa oleh Loh Choon How (Taijiquan lelaki). - Bernama

Berita Harian X