Isnin, 19 Disember 2016 | 8:30am

Modul kerja 6 jam sehari tingkat produktiviti

KUALA LUMPUR: Rutin harian Norhajira Razali, 28, eksekutif audit yang berasal dari Johor Bahru tidak seperti juruaudit lain yang kebiasaannya berkerja sehingga lewat malam mengejar waktu sehingga terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga.

Norhajira juga tidak berdepan dengan masalah terperangkap di dalam trafik dan menghabiskan masa di jalan hanya kerana mahu ke tempat kerja setiap hari, sekali gus mengurangkan masalah tekanan (stres) yang dialami kebanyakan warga kota. 

Sebaliknya di NK Associates yang menggunakan modul bekerja enam jam sehari membolehkan isteri Muhammad Syazani Zulkifli, 28, dan juga ibu kepada Muhammad Syahmi Rayyan, setahun empat bulan itu, menguruskan masa bekerja dan keluarga dengan lebih baik.

Rutin harian Norhajira agak unik iaitu bangun awal pagi untuk solat Subuh, menghantar anak ke rumah pengasuh jam 6.20 pagi sebelum bertolak ke NK Associates 10 minit kemudiannya untuk masuk bekerja jam 7 pagi hingga jam 1 tengah hari.

"Modul bekerja enam jam sehari beri saya lebih masa bersama keluarga, terutama anak. Lepas habis kerja (1 tengah hari) saya akan balik ambil anak di rumah pengasuh. Saya keluar rumah jam 6.30 pagi dan sebelum 7 pagi sampai pejabat," katanya kepada BH yang turut merakamkan visual rutin harian eksekutif audit di NK Associates itu, baru-baru ini.

"Isteri saya memang keluar awal tapi dia juga balik awal dan banyak masa dengan anak. Kalau dibandingkan dengan saya kerja lapan jam (sehari) di sektor awam masuk jam 8 pagi tapi tetap kena keluar awal," kata Muhammad Syazani yang amat gembira dengan jadual kerja Norhajira.

Norhajira berkata, di syarikatnya, beliau tidak perlu bimbang dengan masalah cuti kerana NK Associates menggunakan sistem penempahan untuk bekerja di mana kakitangan yang dianggap sebagai 'pengurus bawahan' perlu menempah work space (ruang bekerja) untuk bekerja seminggu lebih awal dan dibayar gaji mengikut sumbangan.

"Kalau kita tak booking slot (work space), maknanya kita bercuti. Di sini, kita tak payah mohon untuk bercuti, tapi kena mohon untuk bekerja," katanya menegaskan setiap kakitangan di syarikat itu dibayar gaji yang berbeza mengikut sumbangan masing-masing. 

Firma perakaunan di Puchong itu mula mengguna pakai sistem bekerja enam jam sehari sejak dua tahun lalu berdasarkan idea N Krishnan, pemilik dan rakan kongsi NK Associates, yang mengembangkan modul bekerja enam jam sehari dari negara maju seperti Sweden.

KRISHNAN memantau hasil kerja kakitangannya di NK Associates, Puchong. - Foto Muhammad Asyraf Sawal
KRISHNAN memantau hasil kerja kakitangannya di NK Associates, Puchong. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

Krishnan berkata, fokus utama pembangunan modul itu ialah untuk meningkatkan produktiviti kakitangannya yang dianggap nadi penting dalam sesebuah organisasi dengan berpandukan kepada tiga kriteria utama iaitu keusahawanan, ketelusan ganjaran dan persekitaran kerja kondusif melalui waktu kerja enam jam sehari.

"Kajian menunjukkan kebanyakan pekerja di bandar utama di Asia meluangkan masa antara dua hingga tiga jam sehari atas jalan untuk bekerja. Keadaan ini menyebabkan mereka stres. Melalui modul yang kami bangunkan iaitu sistem bekerja enam jam sehari, kita masuk seawal 7 pagi sehingga 1 tengah hari dan syif kedua pada 2 petang hingga 8 malam.

"Kakitangan kami tidak lagi mengalami masalah terperangkap dalam kesesakan trafik. Ketika pekerja lain baru masuk ke pejabat 9 pagi dengan stres mengharungi trafik, kakitangan kami sudah 40 peratus menjalankan tugasan harian," kata Krishnan yang mengasaskan firma perakaunan itu bersama rakan kongsinya sejak tahun 2000.

Modul bekerja enam jam sehari itu juga diperkuatkan dengan sistem gaji atau ganjaran berdasarkan produktiviti di mana kakitangannya akan dibayar berdasarkan sumbangan. Mereka juga perlu membuat tempahan slot bekerja dan tidak perlu memohon untuk bercuti.

Melalui sistem itu juga pekerja tidak mempunyai waktu rehat spesifik seperti waktu makan tengahari yang diamalkan di sektor awam atau swasta. Ia juga tidak mempunyai bonus tahunan kerana setiap pekerja sebenarnya dibayar 'bonus' berdasarkan merit dan sumbangan setiap bulan mengikut perancangan dan pengurusan individu.

"Kalau produktif, kita akan mendapat lebih (ganjaran). Tidak timbul lagi soal bonus yang semua dapat (seperti diamalkan di tempat lain) walaupun ada pekerja yang tidak menyumbang (produktif)," kata Krishnan menegaskan kakitangan yang gembira dan tidak stres, secara tidak langsung akan bekerja dengan lebih produktif dan membawa keuntungan kepada organisasi. 

"Sistem ini bukan hanya baik untuk individu berkeluarga seperti Norhazira tetapi juga individu bujang seperti saya yang dapat bekerja dan belajar pada masa sama" kata Hing Yi Yi, 28, juruaudit di NK Associates yang sedang mengikuti kursus perakaunan ACCA.

Ilamparithi Rajadran, 28, yang sudah empat tahun bekerja dengan NK Associates berkata sistem digunapakai di firma perakaunannya itu akan membawa tiga kebaikan iaitu meningkatkan produktiviti, keberkesanan kerja dan gaya hidup seimbang kepada kakitangan.

"Kami juga tiada lagi masalah cuti sakit (MC). Semua pihak gembira dengan sistem bekerja enam jam sehari dan sistem booking untuk bekerja," kata Pengurus Kewangan dan Sumber Manusia NK Associates, Selva Kumari Karrupiah, merujuk kepada 58 kakitangan firma perakaunan itu yang menyediakan perkhidmatan audit, percukaian dan korporat.

Krishnan berharap sistem itu boleh dikembangkan dan digunapakai organisasi lain, termasuk di sektor awam dan mana-mana pihak yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai modul bekerja enam jam itu boleh menghubungi NK Associates di talian +60358822054 atau melayari www.nk.com.my.

Berita Harian X