Isnin, 19 Disember 2016 | 12:07am

Dron untuk buat duit

KUALA LUMPUR: Inovasi dan kreativiti mampu menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan, malah boleh menyumbang kepada sumber pendapatan untuk mereka yang bijak mengkomersialkan gabungan itu.

Apatah lagi kebelakangan ini, teknologi dan trend terkini sering menjadi ukuran kepada mereka yang ingin menceburi dalam dunia perniagaan apabila menjadikan 'fenomena' itu sebagai satu daripada sumber kewangan yang baharu.

Mengambil contoh, trend mengambil gambar atau video dari sudut sukar serta tinggi hanya menggunakan alat yang dikenali sebagai dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) yang mana berfungsi sebagai pesawat yang dikawal dari jarak jauh atau terbang secara autonomi melalui sistem perisian kawalan penerbangan dan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).

Selain digunakan sebagai peralatan permainan, penggunaan dron turut diperluaskan bagi perkhidmatan seperti membantu dalam operasi mencari dan menyelamat, pengawasan, pemantauan trafik dan cuaca serta pemetaan.

Selari dengan trend semasa itu, dua sahabat karib yang juga kini usahawan berjaya tidak melepaskan peluang menceburi bidang perniagaan yang menyediakan perkhidmatan pengendalian dron secara komersial.

Minat mengenai teknologi seumpama itu serta komitmen tinggi untuk mencari strategi perniagaan baharu, dua sahabat berkenaan yang dikenali sebagai Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel dan Ahmad Aliff Ahmad Shariffuddin menubuhkan Ifcon Technology Sdn Bhd (Ifcon Technology) bagi merealisasikan keupayaan mereka.


NIK Muhammad Izwan (kanan) dan Ahmad Aliff bersama dron yang direka di Ifcon Technology Sdn Bhd, Puchong. - Foto Saddam Yusoff

NIK Muhammad Izwan (kanan) bersama Ahmad Aliff memasang prototaip Ptero 150. - Foto Saddam Yusoff

Selaku Pengarah Urusan Ifcon Technology, Nik Muhammad Izwan, berkata beliau mula menceburi perniagaan perkhidmatan dron kerana melihat teknologi itu mampu berkembang bukan hanya dalam pasaran tempatan, tetapi juga kini menjadi trend di peringkat global.

"Permulaan Ifcon Technology pada tahun 2009 yang mana ketika itu hanya menyediakan perkhidmatan teknologi maklumat dan multimedia di Malaysia. Selari dengan perubahan semasa, saya dan Ahmad Alif kemudiannya mengambil peluang dengan memberi tumpuan kepada perkhidmatan dron serta membangunkan teknologi itu sebagai produk komersial.

"Sejak setahun lalu, kami mula menjadi pengeluar dan sekarang ini sedang membangunkan beberapa prototaip dron," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Beliau berkata, bidang perniagaan itu dipilih kerana terdapat lebih penumpuan dan kemahiran yang kurang disedari oleh orang lain.

"Kami memikirkan sebelum ini peminat dron atau pihak yang memerlukan perkhidmatan itu terpaksa mendapatkan peralatan berkenaan pada harga yang sangat tinggi kerana ia terpaksa diimport.

"Timbul idea kami untuk mengurangkan masalah itu dengan menyedia serta mereka produk dron sendiri menggunakan bahan yang juga sebahagiannya perlu diimport, tetapi masih menawarkan harga yang berpatutan. Sekarang ini, sekurang-kurangnya kami sudah memberi pilihan kepada pengguna dron tempatan untuk mendapatkan harga mampu milik," katanya.

Sinonim dengan kejayaan sesebuah perniagaan, ia akan diselang seli dengan cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi. Tidak ketinggalan, Nik Muhammad Izwan yang terpaksa menempuh pelbagai cabaran sebelum mampu berada pada tahap sekarang ini.


NIK Muhammad Izwan (kiri) bersama Ahmad Aliff menunjukkan prototaip Ptero 150 di Ifcon Technology Sdn Bhd, Puchong. - Foto Saddam Yusoff

"Mula-mula menjinakkan diri dalam perniagaan, saya hanya berseorangan. Pada masa itu, saya hanya menawarkan perkhidmatan membuat laman web kepada mereka yang berminat.

"Bayangkan kira-kira tujuh tahun lalu, saya hanya duduk di hadapan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), berdekatan Putra Mall untuk mendapatkan pelanggan. Pada ketika itu, saya tidak mempunyai banyak wang apatah lagi pejabat sendiri untuk bekerja. Saya hanya tumpang gunakan perkhidmatan WiFi di KFC," katanya.

Menurutnya, pada ketika itu, beliau mengenakan caj sebanyak RM200 untuk satu laman web dan mendapat seorang pelanggan sehari adalah kejayaan cukup besar bagi dirinya.

Begitu juga dengan Ahmad Aliff yang mana sanggup meninggalkan kerjaya yang agak stabil di luar negara disebabkan minat untuk mendalami bidang perniagaan dron.

"Saya dihubungi Nik Muhammad Izwan yang berkongsi idea untuk menceburi perniagaan dron. Secara kebetulan, saya sememangnya sudah memasang impian untuk pulang ke tanah air dan mempunyai matlamat sendiri.

"Akhirnya saya memutuskan untuk berhenti kerja yang menawarkan gaji kira-kira AUD$8,000 sebulan (RM26,357) di Australia dan bersama-sama membangunkan perkhidmatan dron ini menerusi Ifcon Technology," katanya yang memegang jawatan sebagai Pengarah Komersial Ifcon Technology.

Berkat kesungguhan dua sahabat itu, Ifcon Technology yang sebelum ini hanya diterajui oleh Nik Muhammad Izwan, kini mampu menggajikan tujuh kakitangan terlatih dan dalam perancangan untuk komersialkan produk dron keluaran mereka sendiri, tahun depan.

Syarikat itu juga yang kini mempunyai sekurang-kurangnya 25 dron yang menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pemetaan berskala besar merancang untuk mengeksport produk mereka ke luar negara pada tahun depan, selain menyasar untuk mendapatkan lapangan sendiri di Cyberjaya dalam tempoh tiga tahun akan datang.


PENGARAH Urusan Ifcon Technology, Nik Muhammad Izwan. - Foto Saddam Yusoff

Profil:

Nama: Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel

Usia : 29 tahun

Asal : Kuala Lumpur

Nama: Ahmad Aliff Ahmad Shariffuddin

Usia : 30 tahun

Asal : Alor Setar, Kedah


NIK Muhammad Izwan (kanan) dan Ahmad Aliff menguji dron yang dibuat khas di Ifcon Technology Sdn Bhd, Puchong. - Foto Saddam Yusoff

NIK Muhammad Izwan (kiri) melihat pekerjanya melakukan kerja penyuntingan. - Foto Saddam Yusoff
NIK Muhammad Izwan (kiri) bersama Ahmad Aliff (kanan) melihat pekerjanya melakukan kerja penyuntingan di Ifcon Technology Sdn Bhd, Puchong. - Foto Saddam Yusoff
NIK Muhammad Izwan (kanan) bersama Ahmad Aliff memasang prototaip Ptero 150. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X