Sabtu, 17 Disember 2016 | 12:20am

Tok Mudim Yunus pilihan lelaki dewasa untuk bersunat

SARIKEI: Di sebalik perwatakan yang cukup bersahaja, sudah beratus lelaki dewasa sanggup menyerah diri kepadanya untuk dikhatankan.

Itulah keistimewaan Yunus Basir, 56, yang lebih dikenali sebagai `Tok Mudim Yunus' dalam kalangan penduduk setempat kerana menyediakan perkhidmatan khatan secara bergerak sekitar Kampung Seberang, di sini.

Sepanjang kerjayanya, beliau tidak menetapkan kadar bayaran tertentu, sebaliknya meminta disediakan pisau kecil, lilin, kain pelikat dan benang, sebagai syarat mendapatkan perkhidmatan, selain sedekah seikhlas hati.

Menurut Yunus, lelaki dewasa jauh berbeza dengan kanak-kanak kerana lebih bersifat malu dan amat sensitif dengan keadaan persekitaran mereka, malah pernah beberapa kali 'tendangan padu' singgah pada mukanya angkara individu terbabit terlalu takut.

"Individu dewasa yang pernah saya khatan berusia antara 30 hingga 50 tahun. Malah, saya pernah khatan seorang majikan bersama empat pekerjanya sekali.

YUNUS Basir mengemas sebahagian peralatan yang digunakannya untuk mengkhatan. - Foto Khalid Latip
YUNUS Basir mengemas sebahagian peralatan yang digunakannya untuk mengkhatan. - Foto Khalid Latip

"Saya tidak meminta sebarang bayaran, sebalik mereka menghulurkan sumbangan mengikut keikhlasan hati masing-masing," katanya.

Beliau berkata, kebanyakannya individu dewasa yang mendapatkan khidmatnya bukan beragama Islam, tetapi mahu bersunat kerana keyakinan terhadap aspek kesihatan dan kebersihan, selain percaya boleh mengelak penyakit tertentu.

"Pada masa sama, lelaki dewasa yang sudah saya khatan mengakui, lebih mudah mengendalikan rangsangan seksual mereka selepas bersunat," katanya.

Bagi menjaga aib dan keselesaan pelanggan dewasa itu, Yunus hanya meminta alamat sebelum pergi ke rumah mereka mereka pada waktu dijanjikan.

Mewarisi kemahiran terbabit daripada bapanya, beliau mengakui, proses khatan lelaki dewasa lebih mudah berbanding kanak-kanak, namun rata-ratanya agak cerewet.

YUNUS Basir menunjukkan sebahagian peralatan yang biasa digunakannya. - Foto Khalid Latip
YUNUS Basir menunjukkan sebahagian peralatan yang biasa digunakannya. - Foto Khalid Latip

Ditanya mengenai peralatan digunakan, Yunus menjelaskan hanya menggunakan beberapa alatan penting seperti benang, pengapit, gunting bengkok dan pisau serta ubat untuk membantu mempercepatkan proses penyembuhan. 

"Kebiasaannya, saya akan mengalih perhatian dengan mengajak mereka berbual bual. Hanya beberapa minit sahaja masa diperuntukkan untuk proses berkhatan jika tidak menghadapi sebarang masalah," katanya.

Selain lelaki dewasa, bapa kepada empat cahaya mata ini juga popular dalam kalangan ibu bapa yang mahu anak mereka dikhatankan, terutama ketika musim cuti sekolah.

Malah, sepanjang melakukan pekerjaan itu, katanya, pelbagai pengalaman pahit manis ditempuh termasuk terkena air kencing seorang kanak-kanak ketika dikhatankan.

"Ada yang lari ketakutan, ada juga yang pengsan. Pernah saya mengejar seorang kanak-kanak keliling bilik rawatan hanya kerana tidak mahu dikhatankan. Saya juga pernah diterajang, namun selepas dipujuk, akhirnya proses berkhatan selesai," katanya.

YUNUS Basir menunjukkan ubat-ubatan untuk membantu proses penyembuhan proses khatan. - Foto Khalid Latip
YUNUS Basir menunjukkan ubat-ubatan untuk membantu proses penyembuhan proses khatan. - Foto Khalid Latip

Kecintaan Yunus terhadap pekerjaan itu bermula pada usia muda, malah walaupun hanya berkelulusan setakat darjah enam, ia tidak menjadi halangan kepadanya untuk mendalami kemahiran berkenaan.

Pada 1970-an, beliau berhijrah ke bandar untuk mendalami kemahiran daripada mudim lain yang lebih berpengalaman sebelum diterima bertugas di Hospital Sarikei pada 1 April 1979.

"Bekerja di hospital menambahkan lagi minat saya dalam bidang perubatan dan mendorong saya untuk mendalami ilmu khatan sehingga layak bergelar tok mudim terlatih empat tahun kemudian. 

"Ketika di kampung, saya banyak mempelajari ilmu khatan daripada arwah Haji Ikak yang ketika itu cukup popular sebagai tok mudim kampung. Manakala, di tempat kerja pula, Awang Shamsudin Awang Taha dan Awang Jemat Awang Othman adalah dua individu yang paling banyak berjasa dan tidak lokek ilmu," katanya.

Beliau mengakui pertama kali melakukannya, rasa ralat, kekok dan berdebar tetap ada, namun rakan sekerja banyak memberikan semangat dan dorongan.

"Biarpun sudah bersara daripada perkhidmatan kerajaan sejak April lalu, saya masih menjadi mudim kerana seronok sebab usaha ini sebahagian bakti kepada masyarakat yang memerlukan," katanya.

YUNUS Basir disenangi sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak. - Foto Khalid Latip
YUNUS Basir disenangi sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak. - Foto Khalid Latip

INFO:

  • Mudim di Hospital Sarikei mulai 1 April 1979
  • Khatan 500 kanak-kanak setiap tahun
  • Khatan lebih 80 individu dewasa berusia 30 hingga 50 tahun setiap tahun
  • Khatan di rumah pesakit dewasa ikut temujanji
  • Tiada caj tetap, bayaran bergantung keikhlasan pesakit
  • Alatan penting - benang, pengapit, gunting bengkok, pisau serta ubat

YUNUS Basir menunjukkan sebahagian daripada koleksi botol kesayangan Yunus tersimpan rapi. - Foto Khalid Latip
YUNUS Basir menunjukkan sebahagian daripada koleksi botol kesayangan Yunus tersimpan rapi. - Foto Khalid Latip
YUNUS Basir menunjukkan sijil penghargaan yang pernah diperoleh ketika melakukan proses khatan. - Foto Khalid Latip
YUNUS Basir menunjukkan sijil penghargaan yang pernah diperoleh ketika melakukan proses khatan. - Foto Khalid Latip
Berita Harian X