Sabtu, 17 Disember 2016 | 12:16am

Pulau Burung bertukar pulau sampah cemari laut

NIBONG TEBAL: Busuk, jijik dan memualkan. Itulah keadaan yang berlaku terhadap kawasan hutan bakau dan perairan berdekatan Pulau Burung yang terjejas teruk akibat pencemaran yang berlaku berpunca daripada tapak pembuangan sampah.

Setiap hari, ratusan lori mengangkut sisa sampah domestik dianggar mencecah 1,300 tan dari seluruh Pulau Pinang sebelum dilupuskan di tapak seluas 62 hektar itu oleh kontraktor yang dilantik.

Bagaimanapun, pihak berkenaan dipercayai tidak mematuhi prosedur pelupusan yang ditetapkan apabila melepaskan air sisa sampah berwarna hitam pekat ke dalam kolam berdekatan yang kemudian disalirkan terus ke laut.

Keadaan yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu itu, menyebabkan kehidupan seramai kira-kira 4,500 penduduk empat kampung berdekatan terjejas berikutan kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan dan bergantung kepada sumber laut.

Malah situasi bertambah buruk apabila pokok bakau yang menjadi zon pemampan daripada hakisan ombak turut musnah, selain hidupan seperti kerang dan siput di kawasan itu sudah tiada lagi akibat pencemaran yang dialami.

Tinjauan BH di tapak pelupusan itu mendapati, hampir keseluruhan tapak pelupusan yang mampu memproses sehingga 16,000 tan sampah sehari itu, dipenuhi longgokan sisa dengan kontraktor perlu menggunakan jentera berat bagi menguruskannya.

KEADAAN air di kawasan hutan bakau dan perairan berdekatan Pulau Burung yang terjejas teruk akibat pencemaran yang berlaku berpunca daripada tapak pembuangan sampah. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee

Pekerja tapak pelupusan turut membina beberapa longkang kecil dari tapak pelupusan bagi menyalurkan air sampah ke kolam yang hanya menggunakan timbunan tanah merah sebagai tebing penahan bagi mengelak ia terkeluar.

Penduduk Kampung Changkat Jawi, Hashim Shafie, 57, berkata suatu ketika dahulu kawasan hutan bakau yang terletak di kuala Sungai Tengah, terkenal sebagai lokasi melihat burung oleh penggemarnya termasuk pelancong asing.

Katanya, lokasi yang terletak di kawasan Hutan Simpan Byram itu juga kaya dengan khazanah laut seperti udang, kerang, belitung, kepah dan pelbagai jenis ikan, namun kini hampir semuanya sukar lagi ditemui akibat kegiatan pencemaran.

"Sekarang hendak jumpa ikan belacak pun susah, ikan dan udang sudah tiada di sekitar persisir pantai akibat air sampah yang disalurkan setiap hari. Kira-kira 10 tahun lalu, nelayan mampu memperoleh banyak kerang, belitung dan kepah, tetapi kini semuanya mati.

"Sudahlah hasil tangkapan terjejas, penduduk juga terpaksa menanggung 'azab' bau busuk yang dihidu setiap hari, malah baunya lebih menyengat hidung setiap kali selepas hujan," katanya.

BANGKAI ikan ditemui terapung di pintu air sungai persisiran Pulau Burung dalam kejadian pada April lalu. Foto Danial Saad
BANGKAI ikan ditemui terapung di pintu air sungai persisiran Pulau Burung dalam kejadian pada April lalu. Foto Danial Saad

Hashim berkata, penduduk kampung sudah mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa beberapa kali, namun sehingga kini tiada tindakan diambil, malah kontraktor tapak pelupusan terus membuang air sisa tanpa kawalan terutamanya waktu malam.

"Dahulu kontraktor melepaskan air sisa secara bersembunyi hanya pada waktu malam, tetapi kini air hitam turut dilepaskan itu pada waktu siang terutamanya selepas hujan lebat.

"Boleh lihat sendiri apabila semua pokok bakau yang terletak bersebelahan tapak pelupusan mati dan keluasan hutan bakau semakin mengecil akibat pencemaran yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang, Ilias Shafiee, berkata lebih 1,000 nelayan tradisi kawasan itu hanya mampu mengeluh selepas semakin sukar mendapat hasil tangkapan akibat kegiatan melepaskan air sampah ke laut.

"Jika ikan belacak pun tidak mampu hidup di Pulau Burung, apatah lagi hidupan air lain," katanya ketika membawa BH meninjau keadaan kuala Sungai Tengah yang tercemar teruk sejak 10 tahun lalu.

PENGERUSI Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PKNNPPP), Ilias Shafiee menunjukkan keadaan air di kawasan hutan bakau dan perairan berdekatan Pulau Burung yang terjejas teruk akibat pencemaran yang berlaku berpunca daripada tapak pembuangan sampah. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee

Beliau berkata, masalah itu bukan sahaja mengakibatkan kehidupan nelayan terjejas, tetapi dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan hutan simpan sekitar Pulau Burung rosak, malah ketika ini sudah tidak ada lagi burung singgah di kawasan paya bakau.

"Saya terima banyak aduan daripada nelayan yang mencari rezeki di Pulau Burung, tangkapan mereka jauh berkurangan selain terpaksa menanggung kos tinggi bagi menangkap ikan di kawasan perairan jauh daripada pangkalan.

"Nelayan memang sudah tidak sabar lagi apabila aduan kepada pihak kontraktor tapak pelupusan juga tidak dilayan, malah sesi dialog yang cuba diadakan juga tidak membawa sebarang perubahan positif kepada kami," katanya ketika ditemui BH.

Ilias berkata, pertengahan tahun lalu, pengurusan tapak pelupusan pernah menjemput penduduk kampung menyaksikan demonstrasi melepaskan ikan tilapia ke dalam kolam air sisa bagi membuktikan proses penapisan sudah dilakukan.

"Mereka (kontraktor pelupusan sampah) cuba memperbodohkan kami kerana semua orang tahu tilapia adalah ikan darat yang sememangnya lasak dan mampu hidup dalam persekitaran air kotor, tidak seperti ikan laut.

PEGAWAI Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Aziwan Ali merakamkan gambar timbunan sampah di kawasan Hutan Simpan Byram. - Foto Danial Saad
PEGAWAI Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Aziwan Ali merakamkan gambar timbunan sampah di kawasan Hutan Simpan Byram. - Foto Danial Saad

"Sepatutnya kontraktor terbabit tidak hanya memikirkan keuntungan sahaja, tetapi turut bertanggungjawab memelihara alam sekitar dan memikirkan nasib nelayan dan penduduk kampung yang terjejas akibat aktiviti mereka," katanya.

Ilias yang juga berasal dari kawasan berkenaan berharap, pihak berkuasa terutamanya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang dapat melakukan ujian air dan mengambil sampel selut di kuala Sungai Tengah pada waktu air surut.

Katanya, beliau juga bersedia membawa mana-mana wakil kerajaan negeri meninjau kegiatan melepaskan air sisa sampah oleh kontraktor dan menyaksikan sendiri kerosakan yang berlaku.

Info:

  • 4,500 penduduk Kampung Changkat Jawi, Kampung Changkat Baroh, Kampung Changkat Buaya dan Kampung Bayaran terjejas
  • 1,000 nelayan tradisi terjejas
  • 62 hektar saiz tapak pelupusan
  • 16,000 tan metrik kemampuan lupuskan sampah sehari

AIR sisa sampah berwarna hitam pekat disalirkan terus ke laut. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
AIR sisa sampah berwarna hitam pekat disalirkan terus ke laut. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
PEGAWAI Luar Bandar Sahabat Alam Malaysia (SAM), Aziwan Ali menunjukkan kawasan air hitam yang disalurkan terus ke kawasan pokok kayu bakau. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
PEGAWAI Luar Bandar Sahabat Alam Malaysia (SAM), Aziwan Ali menunjukkan kawasan air hitam yang disalurkan terus ke kawasan pokok kayu bakau. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
PENDUDUK Kampung Changkat Jawi, Hashim Shafie menunjukkan kawasan pokok bakau yang dicemari air sampah. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
PENDUDUK Kampung Changkat Jawi, Hashim Shafie menunjukkan kawasan pokok bakau yang dicemari air sampah. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
PENDUDUK Kampung Changkat Jawi, Hashim Shafie menunjukkan air sisa berwarna hitam yang disalurkan dari tapak pembuangan sampah. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
PENDUDUK Kampung Changkat Jawi, Hashim Shafie menunjukkan air sisa berwarna hitam yang disalurkan dari tapak pembuangan sampah. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
TINJAUAN tapak pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal. - Foto Danial Saad
TINJAUAN tapak pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal. - Foto Danial Saad
TIMBUNAN sampah di kawasan Hutan Simpan Byram. - Foto Danial Saad
TIMBUNAN sampah di kawasan Hutan Simpan Byram. - Foto Danial Saad
PENGERUSI Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang, Ilias Shafiee. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
PENGERUSI Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang, Ilias Shafiee. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
BANGKAI ikan yang dijumpai di pintu air sungai persisiran Pulau Burung, dalam kejadian pada April lalu. Foto Danial Saad
BANGKAI ikan yang dijumpai di pintu air sungai persisiran Pulau Burung, dalam kejadian pada April lalu. Foto Danial Saad
Berita Harian X