Jumaat, 16 Disember 2016 | 12:30am

Jo Vin ungguli golf kategori bawah 17

IPOH: Tan Jo Vin muncul juara kategori lelaki Bawah 17 Kejohanan Golf Akademi Remaja negeri Perak 2016 yang berlangsung di Royal Perak Golf Club (RPGC) tengah hari tadi.  

Pelajar tingkatan empat SMJK Hwa Lian, Taiping itu mencatat sembilan atas par 81 dalam kejohanan yang dijalankan secara stroke play itu. 

Mohd Faiz Feroz juga dari Taiping di tempat kedua dengan 91 pukulan dan tempat ketiga milik Sanjay Mukudan dari Ipoh. 

Sementara adik Faiz yang berusia 14 tahun, Mohd Farhat pula menjuarai kategori lelaki bawah 15. Pelajar SMK Taman Tasik itu mencatat 82 pukulan untuk mengatasi pemain Ipoh, Muhammad Afiq Nadin dan Damian Ong juga dari Taiping dengan satu pukulan. 

Ally Yee dari Ipoh muncul juara kategori perempuan bawah15 tahun dengan 88 pukulan.  Tempat kedua milik Farisha Mohd  Razif dari Batu Gajah 92 pukulan dan ketiga, Ilysia Yasmin Ibnu (103). 

Nur Rahmat Akhmal dari Batu Gajah muncul juara kategori B-12 lelaki manakala S Lekisha dari Taiping muncul juara kategori perempuan B-12 dalam kejohanan anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak yang disertai 39 pemain.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Berita Harian X