Khamis, 15 Disember 2016 | 11:12pm

Kerajaan sasar jualan kraftangan RM500j tahun ini


KETUA Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A Tambi (dua dari kiri) melakukan gimik perasmian sambil diperhatikan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Zuraida Mokhtar (dua dari kanan), Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia, Yusak Mahamud (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia, Haslina Abdul Hamid (kanan) ketika majlis perasmian Festival Kraf Johor 2016 di Angsana Mall Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyasarkan jualan kraftangan sebanyak RM500 juta hingga penghujung tahun ini.

Ketua Setiausaha, Datuk Ab Ghaffar A Tambi, berkata setakat ini jualan kraftangan di seluruh negara sebanyak RM485 juta hingga November lalu.

Katanya, pihaknya berharap menerusi penganjuran Festival Kraf Johor 2016 yang diadakan di sini dapat membantu mencapai sasaran yang hanya tinggal kira-kira RM15 juta.

"Nilai jualan kraf yang dicatatkan menunjukkan bahawa pengguna masih membeli produk kraf. Sehubungan itu, usahawan kraf diseru untuk terus merebut peluang dengan memastikan kualiti produk keluaran mereka sentiasa berada di tahap tinggi.

"Usahawan kraf juga diseru supaya bersedia menerima perubahan dan menjalankan inovasi dalam pengeluaran produk kraf, sekali gus memenuhi kehendak pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Kraf Johor 2016 di Angsana di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Zuraida Mokhtar.

Ab Ghaffar berkata, festival itu yang diadakan selama 10 hari hingga 25 Disember ini menyasarkan jualan sebanyak RM5.5 juta dengan kehadiran lebih 25,000 pengunjung.

Berita Harian X