Rabu, 14 Disember 2016 | 7:10pm

Pelajar UniSZA perkenal 6 snek baharu

JERTIH: Universiti Sultan Zainal Abdin (UniSZA) Kampus Besut, dekat sini memperkenalkan enam produk baharu makanan berasaskan bahan tempatan dan bakal dipasarkan tidak lama lagi.

Pengarah Fakulti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA, Dr Khamsah Suryati Mohd, berkata produk makanan ringan hasil kajian pelajar tahun akhir universiti terbabit dijangka mendapat sambutan pengguna di negara ini.

Katanya, makanan berasaskan tanaman setempat termasuk keledek, kangkung, rambutan, labu dan sayur-sayuran diadun dengan perasa tidak beralkohol setaraf produk makanan yang sudah berada di pasaran.

"Kajian pelajar jurusan pemakanan universiti itu sejak setahun lalu, menghasilkan produk berkenaan dan mampu bersaing dengan makanan segera lain.

"Semua produk yang diperkenalkan pelajar tahun akhir itu adalah yang pertama dikeluarkan UniSZA sejak kampus berkenan beroperasi lima tahun lalu," katanya pada majlis pelancaran produk itu, hari ini.

Enam produk terbabit menggunakan nama gula-gula kmo, mi hijau, pumpkin hash brown, chew nom, RF chos dan pumpito.

Khamsah Suryati berkata, fokus utama universiti berkenaan adalah memanfaatkan tanaman yang usahakan petani tempatan, sekali gus membantu golongan itu menambah pendapatan.

"Kami mendapati banyak hasil pertanian tempatan dilambakkan kerana tidak laku di pasaran.

"Dengan mengkormesialkannya dalam bentuk makanan ringan, ia lebih mudah diterima pengguna," katanya.

Berita Harian X