Rabu, 14 Disember 2016 | 1:00pm
PENERIMA Anugerah Olahragawan, Muhammad Shaiffudin Mohd Kamro (dua kanan) bersama penerima Anugerah Olahragawati, Azuanis Abdullah (dua kiri), penerima Anugerah Olahragawan Harapan, Muhammad Naim Mohd Nasir dan penerima Anugerah Olahragawati Harapan, Nur Aina Yasmine Halim (kanan) menunjukkan replika dan trofil kemenangan pada program Malam Kecemerlangan Sukan UnisZA 2016 di Dewan Perdana, Universti Sultan Zainal Abidin. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Atlet memanah dipilih Olahragawan, Olahragawati UniSZA

KUALA NERUS: Dua atlet memanah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Kecemerlangan Sukan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 2015/2016.

Atlet Program Kita Juara 2017, Muhammad Shaiffudin Mohd Kamro mengetepikan empat calon lain iaitu atlet mendayung, Muhammad Rabani Hashim; Amir Muhammad Zulfadhli Mohd Faizal (boling padang); Mohamad Hazazi Mazuki (bola sepak) dan Mohd Hafiz Abu Bakar (bola sepak).

Azuanis Abdullah yang mewakili negara di Kejohanan Universiti Dunia 2016 pula menewaskan rakan sepasukan iaitu Siti Nurul Asiah Mahmod; Nasuha Najmi (taekwando) dan Norliyana Zailani (karate-do).

Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM1,000 berserta sijil penghargaan, jaket blazer dan trofi yang disampaikan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Latif.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSZA, Prof Dr Nik Wan Omar dan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA, Riduan Mohd Arof.

Muhammad Naim Mohd Nasir yang membantu pasukan bola sepak UniSZA muncul juara Piala Menteri Pendidikan Tinggi dinobat Olahragawan Harapan manakala atlet memanah Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Nur Aina Yasmine Halim diumum Olahragawati Harapan.

Sementara itu, Ahmad Zubaidi berkata, anugerah yang diberikan bertujuan mengiktiraf pencapaian atlet dalam kalangan mahasiswa dan kakitangan UniSZA dalam pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Katanya, pihaknya berharap anugerah yang diberikan itu bukan saja menghargai keringat mereka, malah mampu memberi motivasi kepada atlet lain untuk turut cemerlang pada masa depan.

"Kita memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pencapaian cemerlang atlet serta pegawai yang terbabit dalam usaha mengangkat budaya kesukanan di UniSZA ke tahap tertinggi," katanya.

Berita Harian X