Isnin, 12 Disember 2016 | 5:48pm

2 remaja ditahan kerana samun


POLIS menemui semula telefon bimbit milik mangsa samun beserta wang tunai RM500 selepas menaha dua remaja lelaki yang dipercayai bertindak menyamun seorang penyanyi sambilan wanita dalam kejadian Isnin minggu lalu di Bukit Tengah. - Foto Ihsan Polis

BUKIT MERTAJAM: Dua remaja lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian samun seorang penyanyi sambilan wanita, Isnin lalu.

Tangkapan dibuat di sebuah rumah dekat Kampung Tok Subuh di sini, hasil serbuan kira-kira jam 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata suspek berusia 14 dan 16 tahun itu didakwa melakukan kegiatan samun pada jam 3.50 pagi ketika kereta yang dipandu mangsa berusia 29 tahun itu terbabas berhampiran sebuah stesen minyak dekat Bukit Tengah, di sini.

"Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai menyanyi di sebuah kelab malam sebelum terbabas lalu melanggar pembahagi jalan akibat keletihan.

"Ketika mangsa menghubungi rakannya untuk meminta bantuan, dia didatangi dua lelaki menaiki motosikal yang merampas telefon bimbit serta beg tangannya," katanya.

Beliau berkata, mangsa cuba merampas kembali barangan itu daripada kedua-dua suspek namun tersungkur di jalan, menyebabkan siku dan lututnya cedera manakala suspek meloloskan diri.

"Pemeriksaan awal polis menemui telefon bimbit milik mangsa dan wang tunai RM500. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X