Ahad, 11 Disember 2016 | 6:30am

Hidupkan sunnah sebagai tanda cinta


Bersalaman dan menghulurkan sumbangan kepada yang memerlukan (gambar kanan) antara sunnah Rasulullah SAW yang menjadi amalan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini. - Foto hiasan

Kegagalan memahami definisi sunah antara faktor ada dalam kalangan kita yang mengabaikannya dengan alasan ia hanya perbuatan sunat, apabila dikerjakan mendapat ganjaran pahala dan tidak pula berdosa jika ditinggalkan.

Sedangkan, konteks sunah itu luas merangkumi segala perkara wajib yang perlu dilaksanakan termasuk menunaikan solat lima waktu, mengeluarkan zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan.

Perkara sunat hanyalah sebahagian kecil daripada sunah Nabi.

Antaranya, galakan memberikan senyuman ketika bertemu orang lain kerana ia juga satu sedekah yang memasukkan kegembiraan dalam hati dan mengeratkan ukhuwah.

Oleh itu, mencontohi Nabi Muhammad SAW adalah dengan melaksanakan sunah Baginda.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Sunah Rasulullah bersifat sejagat

Pensyarah Kanan I'jaz al-Quran Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Sukki Othman, berkata, keadaan umat Islam hari ini yang agak goyah dengan pelbagai bentuk penindasan sepatutnya menjadi petunjuk untuk bersama mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan Islam.

Katanya, cara terbaik untuk merealisasikannya adalah dengan mencontohi Rasulullah SAW dalam segenap aspek kehidupan kerana sunah Baginda bersifat sejagat serta sesuai diamalkan oleh umat Islam serta bukan Islam.

Marilah bersama melakukan perubahan ketara apabila menyambut Maulidur Rasul dengan tekad untuk menjadikan Nabi Muhammad sebagai role model seterusnya menjunjung sunah dibawa Baginda sebagai bukti perhambaan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT.

Tambah Mohd Sukki, adalah malang jika seorang Muslim itu berasa malu untuk mengamalkan perkara yang pernah dilakukan Rasulullah SAW tetapi pada masa sama berbangga pula meniru perbuatan daripada budaya lain.

Tanda mencintai seseorang ialah kita ingin sentiasa dekat dengannya dan dalam konteks Rasulullah SAW, cara terbaik adalah dengan mengikut sunah yang boleh kita pelajari daripada hadis sahih serta sirah hidup Baginda SAW.

Lakukan secara istiqamah

Mohd Sukki berkata, tidak sukar untuk mencontohi Rasulullah SAW malah amalan yang dilakukan Baginda boleh ditiru dengan syarat seorang itu sentiasa bersungguh-sungguh serta istiqamah melakukannya.

Antara amalan paling mudah dilaksanakan adalah dengan memasang niat yang baik kerana ia akan mendorong kita melakukan perbuatan murni.

Niat adalah amalan hati dan antara sunah yang sangat mudah dilaksanakan.

"Ulama sependapat niat adalah wajib bagi membezakan suatu amalan itu dikira sebagai ibadah atau adat, bahkan ia penting bagi mendidik diri supaya lebih ikhlas melaksanakan ibadah semata-mata kerana Allah SWT," katanya.

Umat Islam juga dituntut menunaikan sunah yang wajib dalam kehidupan seperti menuntut ilmu selain sunah sangat digalakkan seperti memperbanyakkan zikir dan berselawat.

Perkara itu boleh dilakukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Alangkah indahnya apabila dalam diri umat Islam terpancar percikan daripada bayangan Rasulullah SAW melalui perlakuan, percakapan serta amalan Baginda yang dicontohi.

Inilah cara terbaik kita mempersembahkan Islam kepada yang belum Islam lagi.

Rasulullah sebagai idola

Kita biasa mendengar keistimewaan Baginda SAW sebagai nabi, pemimpin, ketua keluarga, suami, bapa, sahabat dan jiran yang disampaikan melalui ceramah atau pengajian agama. Semua itu adalah panduan untuk kita menjadi seorang yang berjaya bukan sahaja di dunia, juga akhirat.

Meraikan Maulidur Rasul sempena memperingati kelahiran utusan Allah SWT yang menjadi rahmat kepada sekalian alam sewajarnya meningkatkan keazaman kita untuk mencontohi Baginda dalam menjalani kehidupan menuju alam kekal abadi.

INFO: Rahsia dan kunci kejayaan Rasulullah SAW

* Keperibadian yang unggul

* Akhlak dan perwatakan yang terpuji

* Pembicaraan dan perkataan yang selari dengan perbuatan

* Mempunyai sifat bijaksana dan berhikmah dalam setiap tindakan.

Berita Harian X