Sabtu, 10 Disember 2016 | 8:20am

UEFA setuju bentuk semula Liga Juara-Juara


PRESIDEN baharu UEFA, Aleksander Ceferin menghadiri sidang akhbar selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif di Nyon, Switzerland. - Foto REUTERS

NYON (Switzerland): Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengesahkan bakal meneruskan rancangan membentuk semula Liga Juara Juara dan membayar pampasan kepada liga kecil yang akan terjejas selepas perubahan dilakukan.

Badan induk bola sepak Eropah itu membuat pengumuman terbabit selepas mesyuarat ahli jawatankuasa eksekutifnya di sini, semalam.

Pada Ogos lalu, UEFA mendedahkan empat liga utama di Eropah iaitu Sepanyol, England, Jerman dan Itali akan diberi jaminan terhadap empat tempat automatik dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara bagi 2018-2021.

Cadangan terbabit disokong Persatuan Kelab Eropah (ECA) terdiri daripada beberapa kelab terbesar di benua itu.

Namun Liga Bola Sepak Profesional Eropah (EPFL) menentang cadangan terbabit susulan ia memberi kelebihan kepada kelab ternama sedia ada sekali gus membolehkan mereka membolot semua hadiah kemenangan.

Bagi menyelesaikan isu ini, presiden baharu UEFA, Aleksander Ceferin mengesahkan kuota sedia ada bagi Liga Juara Juara akan kekal untuk semua negara buat masa ini.

Katanya, juara domestik yang tersingkir di peringkat kelayakan akan memperoleh peluang kedua beraksi di Eropah dengan menyertai 'laluan khas juara' di kelayakan Liga Europa.

Selain itu, sebanyak 50 juta Euro (RM233 juta) akan diagihkan untuk Liga Juara Juara dan Liga Europa selain 'tambahan lagi 10 juta Euro (RM46.7 juta) sebagai tambahan kepada agihan untuk pusingan kelayakan.

Dalam perkembangan lain, UEFA mengesahkan final Liga Europa 2018 akan berlangsung di Lyon.

UEFA turut meminta mana-mana negara yang berhasrat untuk menjadi tuan rumah Euro 2024, mengesahkan penyertaan sebelum 3 Mac 2017 dengan pembida yang berjaya akan diumumkan pada September 2018. - AFP

Berita Harian X