Sabtu, 10 Disember 2016 | 12:01am
GERAI nasi lemak Highway di pekan Gerik. - Foto Rohanis Shukri

Penangan Nasi Lemak Highway di Gerik


GERAI nasi lemak Highway ini dikatakan menjadi bualan hangat kerana menawarkan nasi lemak asli yang menyelerakan. - Foto Rohanis Shukri

TERLETAK dalam pekan Gerik, Perak, gerai nasi lemak Highway sesuai untuk mereka, khususnya pelancong dari luar sedang tercari-cari tempat bersarapan yang sesuai.

Malahan gerai ini juga mungkin boleh menjadi lokasi terbaik kepada pengguna Lebuh Raya Timur - Barat yang singgah di pekan Gerik pada waktu pagi atau tengah hari.

Gerai Nasi Lemak Highway ini dikatakan menjadi bualan hangat kerana menawarkan nasi lemak asli yang menyelerakan selain menyediakan lebih 20 pilihan lauk pauk.

Bukan sekadar sambal ikan tumis bilis biasa tetapi pengunjung gerai boleh memilih sebarang lauk digemari termasuk rendang ayam dan kerang, sambal udang, paru serta ayam goreng, telur mata, bergedel namun paling popular dan menjadi kesukaan ramai adalah daging masak hitam.


PEMILIK gerai nasi lemak Highway, Mohd Sanusi Daud (kiri) bersama pembantunya, Khairul Helmi. - Foto Rohanis Shukri

Asal Nama Highway

Pemilik gerai, Mohd Sanusi Daud berkata, kebanyakan lauk-pauk disediakan mengikut resipi warisan keluarga sebab itu menambat selera penduduk tempatan malah sering dicari pengguna tetap jalan raya itu.

Kebanyakannya dalam perjalanan menuju Kelantan, Kedah, Pulau Pinang termasuk Betong, namun sanggup singgah sebentar semata-mata ingin menikmati kelazatan nasi lemaknya.

"Pada mulanya saya menamakan gerai ini Mahnusi hasil gabungan nama bersama isteri, namun mungkin kerana lokasi berdekatan jalan perhubungan utama menyebabkan pelanggan menggelarnya sebagai gerai Nasi Lemak Highway," katanya yang membuka perniagaan di situ dua tahun lalu bersama isteri, Siti Fatimah Endok.

Mohd Sanusi berkata, kebanyakan pelanggan yang pernah menikmati nasi lemak di gerainya mengaku lauk-pauk yang disajikan berupaya mengimbas kembali nostalgia menjamah masakan ibu dan orang tua di kampung.

Ini kerana rasa sambalnya cukup lazat selain ikan bilis kekal rangup biarpun sudah hilang panasnya.

Ditanya bagaimana dia mampu mempertahankan keaslian rasa sambal dan rangup ikan bilis, beliau berkata, beliau akan mendapat ikan bilis terbaik, dibersihkan dan digoreng berasingan dengan sambal.

"Saya goreng ikan bilis dahulu manakala selepas siap sambal tumis, baharu saya campur kedua-duanya sekali," katanya.


NASI lemak yang dijual di gerai nasi lemak Highway. - Foto Rohanis Shukri

Daging masak hitam pilihan popular

Menurut Sanusi, disebabkan pelanggan terlalu ramai, dia dan isteri memperuntukkan 25 kilogram nasi ditanak setiap hari namun menjelang hujung minggu, jumlahnya berlebihan sekali ganda.

Bagi sepinggan nasi lemak, pelanggan boleh menikmati sekurang-kurangnya lauk ayam, ikan bilis, telur mata dan timun.

"Harga bergantung kepada lauk-pauk diambil namun pelanggan memuji, kata mereka harga nasi lemak saya sangat berpatutan jika dibandingkan nasi lemak dijual di pekan dan bandar besar," katanya seraya memberitahu daging masak hitamnya paling cepat habis dijual.

"Ia cuma masakan ala kampung namun nampaknya itu yang digemari pelanggan. Semua yang disediakan dengan ikhlas hati, pastikan cukup bahan dan ramuan selain dimasak mengikut resipi yang betul, tidak kira apa masakan pun pasti mampu menambat selera ramai," katanya.


MOHD Sanusi melayan pelanggan yang singgah di gerainya di pekan Gerik. - Foto Rohanis Shukri

INFO

  • Nasi Lemak Highway dalam pekan Grik, Perak
  • Waktu Operasi: 7 pagi hingga 11 pagi (untuk nasi lemak)

    12 pagi hingga 4.30 petang (nasi campur)

  • RM5 sepinggan bersama lauk terpilih
  • 20 jenis lauk disediakan
  • 25 kg beras dimasak nasi lemak setiap hari

Berita Harian X