Selasa, 9 Disember 2014 | 12:51pm

Kementerian Pendidikan cadang 10 lonjakan mantapkan sistem pendidikan tinggi - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mencadangkan 10 lonjakan termasuk penghasilan graduan yang seimbang, holistik dan mempunyai sifat atau minda keusahawanan bagi memantapkan lagi sistem pendidikan tinggi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata adalah wajar bagi satu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Sektor Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) 2015-2025 digubal merangkumi lonjakan yang dicadangkan Kementerian Pendidikan.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, ini termasuklah penyediaan satu pelan tindakan yang mantap dalam usaha menangani cabaran sektor pengajian tinggi bagi menjadikan Malaysia sebagai pemain global dan hab pendidikan terkemuka di rantau ini.

"Sepertimana dengan dialog kebangsaan PPPM 2013-2025 sektor pelajaran yang pernah diadakan sebelum ini, proses penyediaan pelan tersebut akan mengambil kira maklumbalas, pandangan berserta idea baru dari pihak awam dan pemegang taruh.

"Saya ingin tekankan bahawa pelan ini haruslah menyeluruh di mana sektor swasta tidak akan terkecuali memandangkan hampir separuh daripada pelajar berdaftar di dalam ekosistem pendidikan tinggi negara sedang mengikuti pelbagai kursus di institusi pengajian tinggi swasta" katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan sesi dialog penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 bersama pemegang taruh di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, lonjakan lain yang dicadangkan adalah kecemerlangan kerjaya dan pemupukan bakat pendidikan yang tinggi, masyarakat yang belajar sepanjang hayat serta graduan Pendidikan Tinggi dan Vokasional berkualiti tinggi.

Selain itu, katanya enam lonjakan lain pula membabitkan kelestarian kewangan, pemerkasaan tadbir urus, pemerkasaan ekosistem inovasi, sistem tersohor di peringkat global, pembelajaran dalam talian secara global dan transformasi sistem pendidikan tinggi.

"Saya yakin bahawa dengan cara ini, ia akan memastikan bahawa dokumen yang akan terhasil akan bersifat inklusif, terkini dari segi perkembangan semasa, realistik dan yang paling penting ia boleh dilaksanakan secara berkesan.

"Apa yang penting adalah matlamat terakhir pelaksanaan PPPM Pengajian Tinggi kelak adalah penghasilan modal insan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan pesat negara yang mengambil kira pembangunan lestari," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sejajar dengan aspirasi PPPM 2013-2025, graduan haruslah dididik dan digilap supaya dapat mempunyai enam ciri utama termasuk sifat kepimpinan yang bercirikan global dan memupuk nilai etika serta kerohanian.

"Graduan juga harus fasih berbahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan seeloknya dapat menguasai bahasa ketiga seperti bahasa Mandarin selain mempunyai kemahiran berfikiran aras tinggi serta menguasai ilmu pengetahuan terkini.

"Graduan juga harus mempunyai jati diri dan identiti sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X