Rabu, 7 Disember 2016 | 8:17pm

Agrobank peruntuk RM50j untuk PRL BERNAS tahun depan

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Shabery Cheek (dua kanan) menyaksikan majlis menukar dokumen perjanjian rakan niaga strategik antara Agrobank yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Wan Mohd Fadzmi Wan Othman (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS, Abdul Karim Lassim (kanan) turut hadir bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Bakar (dua kiri) pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS). - Foto Rosela Ismail

SERDANG: Agrobank, bank yang dimandatkan untuk membangun dan memperkasakan sektor pertanian negara, memperuntukkan RM50 juta untuk disalurkan sebagai pembiayaan menerusi Program Rakan Ladang BERNAS (PRL BERNAS).

Program itu dijangka mampu dimanfaat kepada lebih 20,000 pesawah padi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Omar, berkata PRL BERNAS membabitkan dua fasa yang mana fasa pertama dilaksanakan pada Julai lalu dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM10 juta.

"Fasa pertama membabitkan lebih 5,000 peserta yang terdiri pesawah hanya di Semenanjung dan sepanjang pelaksanaannya ia menunjukkan prestasi sangat baik.

"Justeru menerusi fasa kedua yang dijangka bermula pada April atau Mei depan kita akan memperluaskan program berkenaan ke Sabah dan Sarawak bagi manfaat kepada seluruh pesawah di negara ini," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian rakan niaga strategik dengan Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) di Serdang, Selangor semalam.

Menerusi perjanjian berkenaan, Agrobank secara rasmi menjadi sumber pembiaya utama bagi peserta PRL BERNAS yang sebelum ini dikendalikan sepenuhnya oleh BERNAS.

Perjanjian itu disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS, Abdul Karim Lassim.

Perjanjian berkenaan menggariskan dua agenda utama antaranya, nilai pembiayaan yang ditawarkan kepada peserta dinaikkan sehingga RM2,500 sehektar bagi bantuan tanaman semusim dengan tambahan RM1,300 untuk elaun sara hidup.

Jumlah maksimum pembiayaan adalah RM50,000 dengan kadar keuntungan serendah 2.52 peratus.

Bagaimanapun, pemohon pembiayaan harus menyalurkan hasil padi hanya kepada kilang di bawah kendalian BERNAS.

Wan Mohd Fadzmi berkata, menerusi PRL BERNAS, Agrobank menawarkan program pembiayaan dikenali BERNAS Paddy-i khusus kepada 19,000 ahli PRL yang berdaftar.

"Menerusi program ini, ahli PRL mendapat akses pembiayaan selain menikmati manfaat lain seperti bantuan khidmat nasihat berhubung keperluan industri padi daripada BERNAS secara percuma," katanya.

Kerjasama BERNAS dan Agrobank ini dapat menyelesaikan masalah pembiayaan pesawah melalui pengurusan modal lebih efisien.

Ia turut membolehkan pesawah memberi tumpuan kepada produktiviti ladang dan peningkatan hasil dengan sepenuhnya.

Info:

- Pembiayaan Paddy-i adalah skim pembiayaan yang dirangka khas untuk manfaat pesawah padi di Malaysia.

- PRL BERNAS sudah dilaksanakan secara perintis (pilot test) di beberapa lokasi sejak Mei 2016 antaranya di Tanjung Karang, Kelantan dan Kedah.

Berita Harian X